Wednesday, August 25, 2010

FELDA diperintah bayar RM11 juta kepada 354 peneroka

FELDA diperintah bayar RM11 juta kepada 354 peneroka


2010/08/26
PUTRAJAYA: Felda tiada pilihan kecuali membayar RM11 juta ganti rugi kepada 354 peneroka sebagai bayaran bagi buah kelapa sawit selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya supaya mahkamah yang sama menyemak semula keputusannya pada 19 Januari lalu yang tidak membenarkan agensi itu merayu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan FELDA berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan FELDA membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka itu.

Panel hakim, yang turut terdiri Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.

Mahkamah juga memerintahkan Felda membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan FELDA membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka itu selepas peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar, dan mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka.

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul. Setiap peneroka dianggarkan akan menerima RM30,000 sebagai ganti rugi.

Mereka menyaman FELDA bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu telah memberikan nilai yang rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.
Mereka menamakan FELDA, pengurus FELDA Kemahang 3 Ibrahim Ismail (yang telah meninggal dunia) dan FELDA Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

Seramai 100 peneroka hadir di mahkamah hari ini.

Mereka diwakili sepasukan peguam diketuai Wan Rohimi Wan Daud manakala Felda diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin. - Bernama

source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/FELDAdiperintahbayarRM11jutakepada354peneroka/Article