Friday, November 30, 2007

Belajar bergerak dengan Hamas


Belajar bergerak dengan Hamas
oleh : Asadullah


Hamas adalah gerakan rakyat bukan komando militer. Hamas adalah gerakan yang menghunjam di dada-dada rakyat Palestina baik bangsa Arab dan kaum muslimin. Menghilangkan Hamas akan jauh lebih sulit dari pada mengadakan koferensi Annapolis. (Juru cakap Hamas, DR. Shalah Bardawil)

Kalau saya boleh jelaskan sebagai begini. Hamas adalah gerakan yang merakyat. Maksud bagi kata gerakan Islam, gerakan penyelamat atau harakahtul inqoz mempunyai definisi yang cukup signifikan. Sebuah gerakan semestinya mempunyai piung-piung lengkap dan bersistematik. Sebuah gerakan perlu disusun rapi seperti lazimnya sebuah binaan yang kukuh. Gerakan yang disusun rapi dengan memikirkan setiap tingkat pimpinannya perlu solid luar dan dalam, maknawiah dan jasadiah. Setiap tingkat perlu lengkap dengan kafaah ilmunya, nilai sikap dan akhlaqnya serta hati dan amalnya, bukan hanya bergantung kepada retorik pidatonya atau lawak bahak dalam setiap ceramahnya. Gerakan yang perlu berhati-hati memunculkan setiap figurnya. Sebuah gerakan perlu berhati-hati dalam setiap bicara umum yang dilontarkan kerana bicara yang tidak ada “basiroh” akan melibas kembali kepada sang pembicaranya.

Apabila Hamas menyatakan mereka sebagai gerakan yang merakyat, maka kita seharusnya mengetahui bahawa rakyat yang bersama Hamas adalah rakyat yang berharokah dengan kata harokah yang padu dan sempurna.

Apabila Hamas memobilisasi mereka ke jalanan, maka mereka yang turun hampir pasti bertasawur harokah. Apabila Hamas memobilasasi harta mereka, maka mereka yang berinfaq hampir pasti mempunyai misi harokah dan apabila Hamas memobilasi nyawa mereka, maka mereka yang menuntut syahid hampir pasti mempunyai cita-cita harokah.

Dan hampir pasti mereka yang dimobilisasi ini bukan hetam keromo tanpa penataan dan tidak berperaturan. Mereka mempunyai jenjang atau mustawa gerakan yang hanya diketahui oleh mereka sahaja. Tidak semua dalam jenjang yang sanggup menghabisi nyawa mereka dalam senarai syuhada. Tidak semua turun ke jalanan , dan yang turun bukannya persis sekawanan kambing dikejar harimau. Mereka cukup teratur, berstrategi dan bermotif.

Bagi Hamas, mereka telah berjaya membentuk rakyatnya berjiwa Harokah sehingga tidak mungkin satu kuasa pun mampu mengoyah kempimpinan mereka. Hamas sudah menhujam di dada-dada bangsa Palestin. Hampir 70% sokongan rakyat yang berharokah dan hampir pasti jugalah gerakan ini tidak mampu dikalahkan oleh rejim sekular munafiq yang pimpinan mereka suka menghisab rokok, rasuah, minum arak, main perempuan, menangkap kaum muslimin dan berkompromi dengan Yahudi laktanullah alaihim ajmain

Tuesday, November 27, 2007

Hukuman Penyapu dalam seerah Rasullah?

Hukuman Penyapu dalam seerah Rasullah

Oleh: Asadullah


Bermudik dari sebuah prinsip “dalam keburukan terdapat ibroh dan pelajaran” penulis memberanikan diri menulis artikel ini dan harapannya agar diterima sebagai menjunjung budaya ilmu yang membina. Ini sekadar pendapat naïf yang mendasari jalan tafakur seorang ulul alabab iaitu belajar daripada peristiwa atau kejadian. Banyak sekali cerita-cerita keburukan kaum-kaum terdahulu Allah rakamkan dalam kalamNya yang mulia, yang kita semua imani bahawa tujuannya bukan untuk mengaibkan tetapi supaya kaum-kaum terkemudian mengambil ibroh dan pengajaran.

Kita lupakan keboborokan akhlaq si Menteri (jika ada), ataupun kita sudutkan perbicaraan akhlaq itu pada sisi negatif. Nah, sekarang kita cuba ubah cara pandang masalah ini kepada sudut dan perspektif yang berbeda. Kemampuan mengalih sudut perspektif dan cara pandang dari sebuah lukisan yang sama sahaja mampu membawa kepada penceritaan yang berlainan, apatah lagi jika lukisan itu adalah lukisan kehidupan yang hidup dan natural.

Kisah penyapu tadi dari sudut seerah Rasul saw disimpul pada satu kata iaitu “iqob”. Islam dan Rasul memperlihatkan, iqob tidak semestinya berbentuk fizikal, kedapatan juga iqob-iqob emosi dan mental yang Rasulullah timpakan kepada sahabat wa sohabiahnya. Sebelum itu iqob fizikal kita sembari mengenali namanya rejam, namanya sebat, namanya qisos. Tetapi barang diingat, iqob-iqob mental juga tidak sedikit memeritkan batin para sahabat dan sohabiah.

Kita semua maklum akan kisah Kaab b Malik seorang sahabat mulia yang “ketinggalan” di dalam medan jihad, bukan kerana penafiannya terhadap seruan Allah dan Rasul, cuma “lalai” seketika dek alasan-alasan dunia. Kelalaian itu diiqob oleh Rasulullah dengan iqob yang cukup memeritkan jiwa dan raganya, menyempitkan dunianya, menyesakkan jantungnya, menyenakkan ulu hatinya dan menekan emosinya. Kaab tidak pernah dapat berbicara hatta dengan zaujahnya tercinta. Kaab tidak pernah dapat bicara hatta dengan sahabat ikhwannya termulia selama beberapa rentang waktu. Allahuakbar, apalah ada pada kenikmatan dunianya, andai hidup di hukum berkelana tanpa teman bicara.

Begitulah Rasulullah meng “iqob” sesuai dengan status sosial sahabatnya. Kaab termasuk dalam senarai sahabatnya. Kaab dikenali publik dan muslimin Madinah pada waktu itu, maka sesuai dengan peringkat imannya dan status sosialnya, Kaab harus bisa menerima tekanan publik ke atas dirinya.

Alangkah malang lagi nasib Kaab, saat tekanan publik memuncak, saat diri terasa sesak, datang pula syaitan durjana menghasut wibawanya. Tetapi nilai taat setia yang tinggi pada prinsip aqidah, prinsip perjuangan dan pada prinsip integriti leluhur negaranya, juga pada amanah yang teremban, Kaab seraya berkata “Musibah apakah lagi yang datang menimpa”.


-Idea hasil penalaran bersama dengan seorang saudara seaqidah -

Sunday, November 18, 2007

Mawi, siti dan pak lah

Mawi, Siti dan Pak Lah
oleh: Asadullah
asadullah.alqamr@gmail.com

Penulis terus kepada topik perbincangan tanpa perlu sebuah latarbelakang cerita yang bersimpang siur.Mawi, siti dan pak lah ada satu tipe tipikal orang melayu. Tipe tipikal yang berpangkal dari adat budaya yang cukup mengakar umbi sepanjang sejarah kemelayuan. Penulis akan mulakan cerita mawi dan siti.

Di dalam satu ceramah Dr.fadzilah Kamsah yang penulis dengar, beliau menyatakan mawi dan siti mempunyai puluhan ribu peminat disebabkan "pakej" yang ada pada mereka. Dr. fadzilah di dalam ceramah tersebut tidak menjelaskan maksud "pakej" yang setersunya membuka peluang ijtihad penulis dalam menafsirkan maksud "pakej" tersebut...

Satu perkara yang kita lihat menjadi "pakej" yang identikal antara dua ikon hiburan ini adalah kedua-dua berasal dari kampung dan membina kerjaya sehingga terkenal satu negara. Asal kampung dan berjaya ini adalah tipe tipikal orang melayu. Masyarakat melayu kampung amat berbangga sekiranya anak mereka berjaya membina kerjaya di bandar atau melakar kejayaan di bumi orang. Mereka akan dikenang di sanjung dan menjadi buah mulut orang kampung, tidak kira apa bidang kerjaya/pekerjaan yang mereka ceburi selagi mana pekerjaan itu tidak menconteng arang ke muka kedua ibu bapa mereka.

Ciri kedua adalah, anak kampung yang berjaya kemudian berkebolehan mempamerkan sifat sederhana dan islamik akan menambah nilai peribadi mereka .Siti Nurhaliza, ketika ramadhan lepas, dalam rancangan tajaan syabas, cukup lunak "mendendangkan" bacaan al quran. Mawi pula dengan lagu aljannah, dan kaset berzanjinya sudah cukup menarik perhatian makcik pakcik di kampung kepada kewibaawan pemuda ini dan "pakej"nya sebagai penyanyi serba boleh idaman masyarakat melayu.

Saya masih ingat ketika seorang rakan membawa saya menziarahi tok wan nya di kedah, tok wannya ketika itu sedang sibuk mengoreng ikan pekasam di dapur,nampak bersungguh tok wan menyediakan makanan. Tiba-tiba dengan tak semena-mena berteriaklah cucu-cucu tok wan memanggilnya dari ruang tamu "tok wan! tok wan ! mawi ! mawi!" .Dengar sahaja nama mawi, entah macam mana bertambah kudrat orang tua tu, jadi hyper, terus tok wan berlari ke depan. Tengoklah penangan aura mawi,tok wan pun mampu berlari.

Keserderhanaan siti nurhaliza dalam berpakaian juga begitu menyentuh masyarakat kampung sehinggakan beliau juga mendapat panggilan artis sederhana oleh permirsa-permisa dari negeri seberang, dan tidak sedikit peminatnya di sana. Siti juga diminati oleh aktivis2 gerakan di sana, malah ada usulan untuk membuat pendekatan agar belaiu didakwahi. Begitu sekali.

Padahal bagi penulis, dan penulis juga berkeyakinan aktivis gerakan islam yang lain juga bersetuju bahawa mawi dan siti hanya ikon melayu totok yang tidak membawa apa-apa nilai dalam visi perjuangan islam. Malah mereka secara terang-terang mencabuli kemurniaan dan
kejernihan addin yang mulia ini. Siti suatu ketika bertudung litup dihari pernikahan, dengan tidak semena-mena membuka tudung menghiburkan suami tercinta katanya. Padahal yang mendengar nyanyiannya bukan hanya suami tetapi puluhan ribu penontoh lelaki dan wanita. Mawi, dalam video klip yang tersebar di youtube menunjukkan buruknya akhlak pemuda ini. Dalam keadaan mamai (atau buat-buat mamai) beliau menyanyi kemudian bertakbir.

Baik, berbalik kepada cerita pak lah. Sekali lagi pak lah adalah tipe tipikal orang melayu yang cukup ideal. beliau berasal dari keluarga yang sederhana, keluarga ulamak, mampu menjadi imam dan dalam masa yang sama menjadi presiden sebuah parti bermazhab kebangsaan. Masyarakat melayu tidak kritikal dengan isme kebangsaan ini, dan tak merasa penting pun untuk ambil tahu kerana bagi mereka cantik baju cantiklah orangnya, cantik orangnya cantiklah budi bahasanya, budi bahasa budaya bangsa. Orang melayu tidak kritikal melihat, tangan pak lah di atas mahu datuk michel. Orang melayu juga tidak kritikal melihat isterinya tidak bertudung, kerana apa kerana pak lah adalah ikon melayu yang moderat dan rata-rata masyarakat melayu berfahaman seperti itu.Si leha tak perlu bertudung litup,cukup berselendang dan berbatik, berkebaya dan bersongket, jalan tersipu-sipu sudah tergambar stigma seorang perempuan melayu terakhir. Padahal dalam islam,budaya dan adat yang melanggar had dan syariat adalah tertolak.

Kita selalu mendengar teori ice berg. Penulis akan bawa teori ini kepada satu anologi mudah. Melihat Sebuah bongkah ais (ice berg) yang besar, apa yang terlihat pada bahagian atas ice berg itu hanyalah "event" atau peristiwa-peristiwa kulit yang sebenarnya di dasari oleh satu ketulan ais yang beratus-ratus tan lebih berat dan besar. Dasar yang berat dan besar inilah dalam diri manusia diistilahkan sebagai"mental model".

Bagi memudahkan kita memahami event dan mental model ini penulis bawakan contoh berikut, apabila kita melihat seorang pelajar membuli, jangan kita salahkan "event" yang berlaku iaitu perbuatan membuli, kita kena lihat dasar atau akar perbuatannya itu. Dasar atau akar adalah
disebabkan "mental model" yang telah dibentuk oleh sistem kehidupan mereka sekian lama. pelajar ini mungkin dirumahnya sudah biasa dengan kehidupan keluarga yang kasar dan bengis. Baik ayahnya ibunya mahupun adik-adiknya. Jadi sistem keluarga membentuk mental model pelajar berkenaan sehingga menjadi budaya dan amalan yang mendarah daging.

Jadi apabila kita menyanggah ketidak islaman atau kehadarian pak lah , kita jangan lupa, pak lah telah menjadi tipe tipikal kesukaan orang melayu yang rata-rata orang melayu adalah sejenis/ "sefikrah" dengan beliau.Pak lah tetap menjadi ikon melayu sejati yang sederhana dan
orang melayu yang telah dibentuk kemelayuaanya akan tetap menyokong pak lah. saya yakin 100% pak lah akan memenangi pilihanraya umum yang akan datang walaupun mungkin ada tentangan-tentangan daripada parti pembakang.

Jadi bagaimana kita menyelesaikan "event" ini. Sudah tentu kita perlu pecahkan "mental model" masyarakat melayu sehingga islam menjadi budaya bukan sekadar baju. Pecahkan mental model ini dengan apa, pecahkan dengan tarbiyyah. Tarbiyyah tidak hanya memasang baju islam sementara, tetapi tarbiyyah menanam budaya islam di dalam diri individu. Kerja tarbiyyah untuk memecahkan mental model ini cukup lama dan perit sesuai dengan tabiat dakwah towil ashil (panjang tetapi asli). Bina dahulu mental model masyarakat melayu terhadap budaya islam yang hakiki bukan sekadar emosi. Kerana islam yang lahir dari emosi akan cepat padam apabila melihat kecantikan peristiwa-peristiwa duniawi.

Saturday, November 17, 2007

Isu raja murka perhimpunan haram 10Nov2007

Berikut adalah laporan Berita Harian

Seri Paduka kesal perhimpunan haram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Negara tidak pernah memperkenankan atau menyokong mana-mana pihak yang menganjurkan atau terbabit dalam perhimpunan haram di ibu negara, 10 November lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan, menegaskan Seri Paduka kesal kerana beberapa pihak tertentu mendakwa perhimpunan haram itu mendapat perkenan dan sokongan baginda serta Istana Negara.

"Sesungguhnya Seri Paduka amat kesal dengan perhimpunan haram yang diadakan itu, lebih-lebih lagi kerana ada dakwaan daripada beberapa pihak tertentu bahawa Tuanku dan Istana Negara memperkenankan serta menyokong perhimpunan haram itu.

"Seri Paduka ingin menegaskan bahawa baginda dan Istana Negara tidak pernah pada bila-bila masa memperkenankan atau memberikan apa-apa sokongan, secara langsung atau tidak langsung, kepada mana-mana pihak yang menganjurkan atau terbabit dalam perhimpunan haram itu dan apa juga kegiatan lain yang menyalahi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan atas titah Yang di-Pertuan Agong itu, merujuk perhimpunan haram di ibu negara 10 November lalu dan memorandum yang dikemukakan kepada Istana Negara pada hari sama oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang didalangi beberapa parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO).


Sebelum itu, Wan Mohd Safiain mengadakan sidang media di Istana Negara, bagi menjelaskan mengenai kenyataan berkenaan. Hadir sama ialah Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Mohd Zuki Ali.

Ini adalah kali pertama Istana Negara mengadakan sidang media bagi memperjelaskan mengenai sesuatu isu.

Isnin lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar, dalam satu kenyataan mendakwa, gabungan itu mengambil keputusan menyerahkan memorandum berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong selepas Seri Paduka sendiri memberikan perkenan.

Tindakan pembangkang itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkannya sebagai cubaan mengheret institusi raja, terutama Yang di-Pertuan Agong, ke kancah politik.

Wan Mohd Safiain dalam kenyataan tiga halaman itu berkata, sebagai ketua utama negara, tanggungjawab Seri Paduka adalah untuk memastikan sistem pentadbiran negara berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sentiasa dihormati dan dipatuhi semua.

Beliau berkata, Seri Paduka berharap rakyat tidak membabitkan diri dalam sebarang kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang.

"Sesungguhnya setiap rakyat bertanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.

"Seri Paduka berharap agar rakyat dapat bersama-sama mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu padu dan dihormati," katanya.


berikut adalah laporan harakahdaily.net, mengambil intisari penulisan Raja Petra

Benarkah Sultan Mizan murka?

'Tuanku Mizan Kesal Dakwaan Baginda Sokong Perhimpunan Haram' itulah tajuk berita yang dikeluarkan oleh Bernama, yang dianggap oleh Raja Petra sebagai satu 'permainan silapmata' di Laman Malaysia Today. Artikel ini adalah terjemahan bebas dari tulisan Raja Petra di dalam kolumnya 'The Corridor of Power'.

Kepada rakyat bawahan pastinya pengumuman begitu sesuatu yang 'serius'. Pegawai tinggi Istana Negara Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan mengeluarkan kenyataan bagi pihak Agong! Siapa sebenarnya Dato' Wan Mohd Safiain?...

Wan Safiain berasal dari Terengganu yang berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri, yang mana sebenarnya seluruh pejabat Istana adalah dibawah Jabatan Perdana Menteri. Pegawai-pegawai yang bekerja di istana Negara adalah sebenarnya pegawai kerajaan yang di'tanam' di istana untuk menjadi mata, telinga dan kadang-kadang menjadi 'mulut' kerajaan. Oleh kerana itu, sekarang kita ketahui bagaimana kerja Jabatan Perdana Menteri di Istana Negara.

Kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini bukan keluar dari DYMM Agong, kerana ia tidak dikeluarkan oleh Penyimpan Besar Mohor Raja-raja. tetapi adalah dari pegawai kerajaan Malaysia.

Apabila 100,000 rakyat minta perkenan Agong untuk mengadap pada 10 November lalu, Agong tidak mengatakan 'tidak mahu' menerima 100,000 orang rakyat untuk mengadap beliau. Agong bahkan mahu mengetahui berapa ramai yang akan mewakili 100,000 rakyat dan nama-nama mereka yang akan mengadap.

Agong juga menyedari bahawa kerajaan akan cuba mengecewakan usaha 100,000 rakyat untuk mengadap beliau. Dan itulah yang telah terjadi. Kerajaan meletakkan syarat supaya rakyat memohon permit untuk berhimpun mengadap Agong. Dengan itu BERSIH memohon permit namun telah ditolak oleh kerajaan, bahkan kerajaan memberi amaran akan bertindak sekiranya 100,000 rakyat berhasrat untuk meneruskan Himpunan Aman BERSIH. Dan polis pun bertindak bagi pihak kerajaan.

Apabila peluru gas pemedih mata di ledakkan kepada peserta Himpunan Aman BERSIH di sekitar Masjid Jamek-Masjid India, 'khabar telah disampaikan' bahawa Briged ke-19 Regimen Askar Melayu di-Raja (RAMD) telah bersiap siaga, untuk merempuh masuk sekiranya berlaku kemalangan maut. Empat Belas Kerta Perisai telah sampai sebelumnya dari Sungai Petani dan berkhemah di Kem Tentera Sungai Buloh, bersedia untuk campurtangan dalam notis segera. Mereka hanya perlukan 10 atau 20 minit untuk sampai ke lokasi sekiranya terdapat tindakan keras keatas rakyat.

Butang kecemasan akan ditekan dan loceng akan berbunyi. Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyaksikan kejadian sepertinya di Kampong Bharu. Regimen Askar Melayu bukan satu permainan, dimana Agong adalah Ketua Komander dan askar akan mematuhi arahan komander tanpa mengambil kira keselamatan nyawa mereka.

Sebab itulah tindakan polis mengendur. Tugas mereka dikurangkan dengan hanya diletakkan di persimpangan untuk menghentikan kereta bagi memberi laluan peserta Himpunan Aman BERSIH untuk melintas jalan dengan selamat. Regimen Askar Melayu di Raja terus bersiap siaga sehingga keesokkannya. Kemudian 14 kereta perisai, senyap-senyap keluar dari Sungai Buloh dan kembali ke Sungai Petani.

Itulah yang membimbangkan kerajaan. Agong tidak bertitah, baginda tidak mahu menerima mengadap wakil-wakil dari Himpunan Aman BERSIH 100,000 Rakyat. Bahkan Agong meminta nama-nama perwakilan yang mengadap. Dan apabila kerajaan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap rakyat, Briged ke 19 RAMD telah dihantar ke Kuala Lumpur dengan 14 buah kereta perisai. Inilah caranya Agong mengatakan bahawa sekiranya kerajaan bertindak menembak para peserta Himpunan BERSIH, sebagaimana kerajaan menembak Suwandi dan Azman di Batu Burok, dia akan bertindak atas nama rakyat.

Oleh yang demikian, kerajaan tidak berkeras. Mereka tidak ada pilihan kerana 100,000 rakyat mahu mengadap Agong, dan Agong mengisyaratkan 'Ya' kepada rakyat. Briged ke 19 RAMD dihantar untuk memastikan bahawa isyarat penerimaan 'Ya' Agong terhadap permohonan mengadap rakyat, dipenuhi.

Pak Lah telah mengeluarkan 'dekree' di dalam ucapan penggulungannya di akhir Perhimpunan Agung UMNO sehari sebelum Himpunan Aman BERSIH. Dia kata dia 'pantang di cabar'. Menantunya, si Khairy meminta polis menangkap semua orang yang menyertai Himpunan Aman BERSIH.

Jadi, tangkaplah si Khairy ! kalau boleh tangkap!. Tangkap 1,000, tangkap semuanya 2,000 orang. Kalaupun jumlah 5,000 orang, tangkap semuanya! Tangkaplah semuanya kalau jumlah 50,000 orang sekalipun. Tetapi, sekiranya jumlah 50,000 ditangkap, masih ada dalam perjalanan 50,000 orang lagi! Bagaimana nak tangkap 100,000 orang rakyat sekiranya ada 50,000 orang lagi sedang berarak tiba di Kuala Lumpur?

Mana boleh tangkap jumlah 50,000 orang! Mana polis ada kemudahan lori untuk menangkap 50,000 orang dan mana ada penjara yang boleh memuatkan 50,000 orang.tahanan !

Kesudahannya, Himpunan 100,000 rakyat yang sebenarnya berlaku di Istana Negara. Walaupun pada mulanya, BERSIH mengisytiharkan akan berhimpun di Dataran Merdeka. Nampaknya kerajaan telah tertipu! Mereka (BERSIH) mahu polis berhimpun (tertumpu) di Dataran Merdeka, supaya peserta Himpunan BERSIH boleh berarak ke Istana Negara tanpa sebarang halangan. BERSIH telah menang, kerajaan tertipu!

Baiklah, kerajaan tak akan kalah semuanya. Kerajaan masih boleh membuat pengumuman yang DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak setuju tidak berkenan. Kerajaan akan meminta ketua pengelola Istana Negara, seorang pegawai kerajaan, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan, membuat pengumuman penting iaitu '(Agong) Tuanku Mizan Kesal Dakwaan Baginda Sokong Perhimpunan Haram'.

Mungkin rakyat jelata akan percaya? - buletinonline.net



Wednesday, November 14, 2007

Mengapa Allah tidak menjadikan syaitan taat kepadanya?

Bismillah

Dalam eramuslim rabu 14 Nov 2007, ada satu pertanyaan di dalam ruangan Ustadz menjawab bersama Ust H. Ahmad Sarwat LC. Pertanyaan tersebut berbunyi begini:-

"Mengapa Allah tidak menjadikan Syaitan taat kepadanya?"

Jawapan yang diberikan oleh Al Akh Ustaz cukup terbuka dan logik. Tidak ada satu dalil pun yang dikemukan. Dan ini juga method Nabi Ibrahim ketika berhadapan dengan Namrud. Apabila Namrud mendakwa dia mampu menghidupkan dan mematikan dengan membiarkan seorang manusia hidup dan membunuh yang seorang lagi. Maka Nabi Allah dengan kebijaksanaannya, mematahkan hujah Namrud dengan menyerang kembali egonya. Mungkin begini kata-kata Nabi Allah...

"Baik kamu boleh menghidupkan dan mematikan. Tetapi Tuhan kami , Allah menerbitakan matahari dari timur dan menengelamkannya ke barat, tolong terbitkan dari barat dan tenggelamkan di Timur...Fabuhitallazi kafar, tercenggang-cengganglah si kafir itu kata Allah kerana sehingga tahun 2007 ini, matahari tetap terbit dari timur dan tenggelam ke barat..."

Begitulah juga method nabi2 dan rasul2 pesuruh Allah yang lain...menghadapi soalan yang "kurang cerdik" kadang kala tak perlu membazir air luar mengungkap dalil, cukup dengan menyerang ego si penanya.

Sebenarnya kita ada keupayaan untuk memilih utk jadi baik atau jahat kerana peralatan hidup (life tools) yang Allah kurniakan. Peralatan yang hidup bukannya kaku baku seperti lumrahnya sebuah alat ciptaan manusia. Dengan alat ini manusia berfikir dan merancang, bersikap dan berbuat.


Dalam keadaan yang lain, kenapa kita tak pertanyakan juga mengapa Allah mencipta mansia jahat dan manusia baik.

Maka ini jawapannya...Manusia baik dan manusia jahat itu menunjukkan kehebatan ciptaan Allah. Cuba tanya kepada manusia baik kenapa dia baik, maka kita akan lihat metodologi Allah menciptakan mereka sehingga mereka hanya nampak kebaikan. Cuba kita tanya manusia jahat kenapa mereka jahat, maka kita juga akan lihat metodologi Allah menjadikan mereka sehingga mereka dihijab daripada kebaikan dan memandang baik perbuatan jahat mereka.

Sekali lagi itulah kehebatan dan kekuasaan Allah menciptakan ciptaannya. Allah tidak mencipta manusia seperti robot yang perbuatannya diprogram dengan terhad. Tetapi Allah memprogram manusia dengan tindakan yang luar biasa banyak sehingga berkemampuan memikirkan untuk menciptakan sesuatu dari sesuatu. suatu teknologi yang tidak mampu manusia alihkan kepada robot.

...jadi program Allah kepada manusia luar biasa. Allah menciptakan dua processor yang mandiri iaitu akal dan fuad yang mempunyai keupayaan memilih dan membuat keputusan sendiri.

wallahuta'ala a'lam

Saturday, November 10, 2007

objectivity

Qul hatu burhanakum inkuntum shodiqin

Ayat di atas menunjukkan objectivity dalam Islam. Islam adalah sebuah agama yang rasional dan mengiktiraf kewarasan ilmu. Islam menolak sesuatu hujah beremosi tanpa dokongan wahyu. Rasulullah sendiri, ketika baginda cuba bertindak diluar objectivity Islam, Allah menegur langsung, walaupun bagi pandangan saya Rasulullah sudah cukup rasional ketika itu. Sebagai contoh tindakan Rasulullah mengasingkan diri daripada isteri2 baginda disebabkan tindakan mereka yang baginda tidak dapat terima, Rasulullah ditegur Allah dengan mafhumnya

"Wahai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang telah Allah halalkan"


Rasulullah cuba serasional mungkin, mengendalikan sesuatu keadaan yang tidak disukainya. Baginda tidak memarahi isterinya, jauh sekali mengherdik mahupun memukul, tindakan yang biasa dilakukan kebanyakkan manusia. Baginda serasional mungkin bertindak dengan hanya mengasingkan diri dengan tidak menyentuh mereka sebagai satu "silent protes". Tetapi tetap sahaja tidak mendapat redha Allah.

Baginda Muhammad dalam ketika yang lain, cuba serasional mungkin menolak permintaan ibn makhtum ketika sedang sibuk mempromosikan islam terhadap pembesar Quraisy. Baginda tidak menghalau, jauh sekali menyumpah mahupun menghina. Baginda hanya berpaling, dan Maha Suci Allah, perbuatan berpaling, yang bagi saya satu perbuatan yang cukup rasional itupun ditegur Allah kerana tidak sesuai dengan tabiat dinNya.

Begitulah objectivity dalam Islam. Sampaikan "burhan" atau bukti kamu jika kamu benar. Berhujahlah dan bukan menghujat. Betapa besarnya kesilapan kita apabila kita mula menghujat. Kita lihat bagaimana senario politik tanahair mutaakhir ini apabila para politikus ini mula menghujat maka keluarlah bermacam-macam istilah; bapak setan, beruk, monyet, yang bagi kita orang biasa, istilah yang hanya keluar dari lidah dan hati busuk manusia yang tidak pernah belajar. Apabila para politikus ini mula menghujat maka keluarkan juga bermacam-macam isyarat tangan, kaki, badan yang bagi kita orang biasa, isyarat hanya keluar dari diri manusia yang tidak pernah sekolah.

p/s tulisan yang dicerahkan perlu melalui pencerahan yang sahih

Thursday, November 08, 2007

konsep,pembolehubah,definisi operasional

Dalam penulisan ilmiah (sains sosial, sains politik,pendidikan dan sebagainya), terdapat dua arah penyelidikan yang utama iaitu penyelidikan kuantitatif dan kualitatif. Kuantitatif sesuai dengan namanya adalah penyelidikan yang memerlukan pembuktian jawapan melalui kuantiti (quantify), numerik dan empirik. Penyelidik yang cenderung kepada penyelidikan ini dinamakan sebagai positivist atau objektivist. Pada aliran penyelidikan kualitatif pula, objektif akhir adalah untuk memahami sesuatu fenomena dan kejadian dengan lebih mendalam berdasarkan tema-tema yang diperoleh melalui kajian. Pembuktian jawapan tidak memerlukan angka sebaliknya melalui data-data lapangan seperti temuramah, pemerhatian ditriangulasi menjadi satu maklumat yang kaya (rich response). Penyelidik yang cenderung kepada penyelidikan ini pula dinamakan sebagai naturalist.

Samaada anda positivist atau naturalist, displin didalam kedua-dua aliran penyelidikan ini mewajibkan anda mendalami, memahami dan menguasai konsep-konsep yang terbit di dalam tajuk penyelidikan anda. Sebagai contoh, jika seseorang melakukan penyelidikan kuantitatif berkaitan "tahap pencapaian pelajar", beliau perlu mendalami, memahami dan menguasai konsep-konsep berkaitan "tahap pencapaian". Apakah definisi-definisi tahap pencapaian daripada kajian-kajian lepas dan sebagainya. Dari situ nanti, barulah penyelidik mampu mengeluarkan pembolehubah-pembolehubah berkaitan "tahap pencapaian". Pembolehubah ini seterusnya didefinisikan lagi sehingga memiliki makna operasional yang akhirnya dapat diukur dan dianalisis.

Saya nak bawa displin keilmuan ini kepada sudut pandang islam. Rasulullah saw, adalah satu figur yang cukup terbilang dalam mengkonsepkan sebuah ideologi fitrah sesuai dengan perintah Allah. Sebagaimana yang kita tahu, jarak Isa dengan kerasulan Muhammad hampir 1000 tahun, dan dalam rentang masa itu, manusia sudah jauh dari konsep aqidah yang haq. Walaubagaimanapun selagi beragama itu adalah fitrah manusia, maka manusia yang menjaga fitrahnya akan mudah menerima Islam, akan mudah mengenal tujuan kejadiaanya.

Sekali lagi, Rasulullah adalah figur terbilang dalam mengkonsepkan sebuah ideologi fitrah sesuai dengan perintah Allah, dan bukan sesuai dengan posisinya (position) dan kepemilikannya (possess) pada waktu itu.

Posisi Rasullah pada waktu itu cukup memungkinkan Rasulullah mengkonsepkan Islam secara kekuasaan politik. Rasulullah memiliki seorang datuk pemimpim kabilah yang cukup disegani. Rasulullah juga memiliki suara dan ketokohan politik yang cukup profilik sehingga dilantik sebagai pemutus diantara parti-parti yang bertelagah. Amalan kepartian masyarakat quraisy pada waktu itu lebih hebat daripada sekarang. Walaupun perihal unta milik anggota satu parti dibunuh oleh anggota parti yang lain, maka gendang perang akan berlanjutan sehingga puluhan tahun. Maka yang jadi pemutus kepada persoalan ini adalah Muhammad Al-amin. Begitulah tingginya ketokohan Rasulullah dimata masyarakat Quraisy.

Rasulullah juga tidak mengkonsepkan Islam secara falsafah, walaupun perkembangan falsafah cukup pesat di Rom pada waktu itu. Malahan, di Mekah sendiri merupakan medan penyair menyairkan syair mereka.

Rasulullah juga tidak mengkonsepkan islam secara ekonomi, walaupun baginda memiliki kekuatan itu. Lihat sahaja kepada isteri baginda, Abu Bakr adalah antara "pengikut-pengikut" Rasulullah yang kaya.

Rasulullah tetap saja mengmbil tabiat program Alquran sebagai minhaj (tabiat minhajul qurani) yang sudah tentunya uslubnya, tabiatnya adalah satu perjalanan yang panjang dan sukar.

Tuesday, November 06, 2007

penulisan popular vs penulisan ilmiah/akademik

Alhamdulilah, mutaakhir ini terdapat ramai muda-mudi yang cenderung memilih penulisan sebagai medium dakwah atau medium untuk berkongsi pengalaman hidup. Sebenarnya terdapat perbezaan yang besar yang perlu diperhatikan di dalam tema penulisan. Penulisan dibahagikan kepada dua iaitu penulisan popular dan penulisan akademik (juriah 2007). Saya sentuh terlebih dahulu berkaitan penulisan akademik kerana alhamdulilah Allah beri saya kesempatan untuk berkecimpung di dalam dunia akademik hampir 20 tahun.

Penulisan akademik adalah penulisan yang paling kering. Penulisan akademik tidak dipengaruhi oleh kecenderungan emosi atau naluri penulis sebaliknya hanya bergantung kepada rujukan-rujukan ilmiah (diterbitkan atau tidak diterbitkan) semata-mata. Istilah diterbitkan atau tidak diterbitkan perlu difahami terlebih dahulu. Rujukan ilmiah yang diterbitkan adalah semua rujukan yang telah melalui proses "peer reviewing" di dalam school of thoughts masing-masing. Contoh sekiranya seseorang menulis tentang isu-isu berkaitan pendidikan, tulisan mereka perlu diedarkan ke seluruh dunia pendidikan untuk dikritik dan dinilai. Di sini, penulis berhak mempertahankan penulisan mereka dengan hujah dan bukan emosi. Penulis juga perlu menerima pendapat dan kritikan yang diberikan bagi menambahbaik penulisannya.


Bagi rujukan tidak diterbitkan pula adalah semua penulisan yang berbentuk disertasi, thesis, laporan praktikum atau kertas projek. Penulisan ini banyak terdapat disemua shelf perpustakaan-perpustakaan universiti di seluruh dunia. Penulisan ini hanya dinilai oleh satu komiti penilai yang kecil (contoh graduate commitee) dan seterusnya disahkan sebagai satu syarat untuk mendapat ijazah, sarjana atau doktor.


Ditekankan sekali lagi, penulisan ilmiah adalah satu penulisan yang kering dan kaku. Penulisan ini hanya dibaca oleh audien di dalam sektor pemikiran masing-masing. Kering dan kaku bukanlah satu konotasi kurang baik, tetapi menunjukkan betapa penulisan ini tidak menjadi pilihan banyak penulis (termasuk saya) dan juga penulisan ini tidak dapat dikuasi oleh kebanyakkan orang walaupun mereka sudah lama menulis.

Berbalik kepada penulisan popular. Penulisan popular adalah penulisan yang berlatarbelakangkan perasaan, emosi, kecenderungan peribadi, pengalaman dan intuisi. Penulisan ini cukup segar dan cerah. Penulisan popular, dari segi istilah dan kandungan sebenarnya tidak pernah diiktiraf oleh ahli akademik sebagai penulisan ilmiah walaupun penulis popular mengungkapkan rujukan mereka. Walaubagaimanapun, penulisan ini banyak membawa audien awam kepada satu kaedah, pemikiran, fikrah yang disampaikan oleh penulis popular dengan jayanya.

unpublished journal

Buli di Sekolah: Siapa Patut Dipersalahkan

Oleh

Mohammd Hafiz b Mohd Yusof

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia


PENGENALAN

Sejarah awal manusia sudah dimulai dengan fitrah kemanusian yang tidak pernah berpuas hati dengan apa yang mereka miliki. Tamadun Rom, Parsi wujud kekejaman sesama manusia. Manusia yang lemah akan dijadikan bahan tekanan, permainan dan hiburan oleh manusia yang kuat dan berkuasa.

Kes buli merupakan rentetan dari perjalanan sejarah manusia. Kes buli sebenarnya tidak boleh diskopkan kepada pelajar-pelajar sekolah tetapi ia adalah konflik kemanusian yang dihadapi oleh manusia dari awal sejarah manusia. Beberapa kronologi kes buli ini disingkap oleh akbhar Utusan Malaysia (2004) edisi 31 Mac 2004 bermula daripada kes Gan En Teck pada Mac 2002 seorang pelajar sekolah swasta di Johor Bharu yang cedera parah dibelasah 10 orang samseng, kes seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Mambau Seremban pada Mei 2002 cedera dibelasah dihadapan surau, kes seorang pelajar Sekolah Perantis Putra Tentera Darat di Port Dickson pada Julai 2003 yang patah tulang rusuk kanan setelah dipukul oleh kira-kira 30 orang pelajar lelaki, kes Mohd Hafizi Jumhari pada 14 Ogos 2003 pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat yang kehilangan fungsi buah pinggang kiri akibat dibelasah, Kes Ahmad Firdaus Zakarian, 15 pada 31 Oktober 2003 yang maut selepas tiga hari koma di Hospital Port Dickson akibat dipukul oleh sekumpulan pelajar dengan objek tumpul di kepalanya sehinggalah kepada kes tergempar sehingga menjadi isu nasional iaitu kes kematian adik Mohamad Farid Ibrahim, 14 dari Sekolah Menengah Agama Datuk Klana Petra Maamor Seremba yang meninggal dunia akibat dibelasah oleh 14 pelajar senior menggunakan but askar.

Di dalam laporan akhbar bertajuk ‘Empat puluh cadangan tangani displin pelajar’ (2004) bekas Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Musa Hassan sebanyak 40 hingga 50 peratus daripada kes juvana adalah terdiri daripada pelajar sekolah. Januari sehingga Oktober 2004, sebanyak 2387 tanggkapan pelajar dibuat yang melibatkan 1275 kes berbanding 3016 kes juvana dengan 4674 tangkapan. Kumpulan-kumpulan samseng juga menjadikan pelajar sekolah sebagai anggota baru mereka. Mereka merekrut para pelajar yang kebiasaan hidup liar dan bebas dari kawalan guru-guru dan keluarga.

LITERATUR

Isu buli ini telah sampai sehingga ke perhatian kabinet. Di dalam mesyuarat kabinet 23 Jun 2004 seperti yang dilaporkan di dalam akhbar bertajuk ‘Kabinet bimbang masalah remaja’ (2004) Perdana Menteri menyampaikan kerisauan dan kebimbangan kabinet terhadap penigkatan masalah social di kalangan remaja di Negara ini dan mahu ia segera ditangani. Kawasan-kawasan bandar yang terdapat gerakan-gerakan samseng bawah tanah perlu dihapuskan. Program-program anti dadah, anti jenayah juvanel perlu digiatkan, memperkasakan sekolah kebangsaan dengan menjadikannya sekolah pilihan utama perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Menurut beliau, masalah buli ini boleh diatasi dengan mengutamakan pendidikan. Beliau dan timbalannya juga bersetuju untuk meningkatkan jumlah anggota polis siap dengan kelengkapan latihan, anggota dan logistik yang mencukupi dalam usaha membendung jenayah di negara ini. Ini kerana keperluan yang munasabah akan membantuk usaha polis membasmi jenayah dengan lebih berkesan.

Di dalam artikel diakhbar bertajuk emosi pembuli mangsa tercalar (2004), Prof. Madya Dr. Zasmani Syafie seorang pakar di Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan mangsa buli terlalu takut untuk memaklumkan cerita perkara buli yang terjadi keatas mereka, dan lebih malang lagi, ada juga mangsa yang mengadu tetapi keluarga terutama ibu bapa mengambil mudah dengan mengatakan ia adalah sesuatu yang normal.

Noran Fauziah (2007) menulis rencana bertajuk empat langkah menghalang perbuatan buli yang bermula dari tahap sekolah, tahap kelas dan tahap individu.

Marzita Abdullah (2007) turut menulis sebuah yang merumuskan beberapa punca tabiat buli di sekolah. Pertama disebabkan kerana persekitaran sekolah yang wujud perhubungan negatif pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Bagi masalah ini beliau mencadangkan guru-guru melakukan ujian sosiometri untuk mendapatkan maklumat tentang status perhubungan sosial pelajar. Masalah kedua adalah ibu bapa yang mengamalkan gaya keibu-bapaan yang salah. Dalam kajian yang dipetik daripada Noran Fauziah mendapati hanya 12% daripada ibu bapa pelajar yang membuli berbincang dengan anak-anak mereka. Ini menunjukkan satu jurang perhubungan wujud diantara ibu bapa dan anak-anak mereka. Seterusnya beliau mencadangkan agar ibu bapa untuk sering menghubungi pihak sekolah dan terlibat aktif dalam program anti-buli anjuran sekolah.

Aris dan Noor (2005) pula menjelaskan tentang masalah buli di sekolah dari sudut definisi buli, jenis buli dan ciri mangsa dan pembuli. Secara kesimpulannya beliau menyatakan sikap pelajar pembuli terhasil dari pengalaman lama (menjadi junior) di sekolah yang turut dibuli. Seterusnya mereka cenderung untuk melakukan perkara yang sama ketika mereka menjadi senior. Sifat membalas dendam akibat tekanan, deraan fizikal dan psikologi di zaman kanak-kanak ini telah dinyatakan oleh Sigmund Freud. Akhir sekali, beberapa cadangan digariskan oleh beliau bagi menangani masalah buli iaitu diperingkat individu, diperingkat kelas, diperingkat sekolah, diperingkat ibu bapa, diperingkat Jabatan Pelajaran Negeri dan diperingkat Kementerian Pelajaran.

PUNCA-PUNCA

Daripada hasil bacaan literatur. Penulis menyimpulkan tiga konteks yang boleh menjadi punca kes buli. Tiga konteks tersebut adalah:-

1) Persekitaran budaya rumah

2) Persekitaran budaya sekolah

3) Persekitaran budaya masyarakat

Persekitran budaya rumah


Rumah merupakan institusi pembinaan insan yang pertama bagi seseorang pelajar. Ini kerana, menurut Sharifah Alwiah (1986) pelajar-pelajar yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang di rumah akan cenderung membawa masalah displin ke sekolah. Oleh kerana rumah sebagai tempat membina kasih sayang sehingga muncul peribadi anak yang mulus, Parsona (1964) mengumpamakannya sebagai kilang tempat memproses peribadi manusia. Terdapat beberapa elemen yang membentuk persekitaran rumah yang seterusnya akan membentuk budaya rumah itu sendiri. Elemen-elemen tersebut adalah:-

  • Bapa
  • Ibu
  • Adik-beradik
  • Saudara-mara

Di dalam penulisan Aris dan Noor (2005) menyatakan bapa dan ibu adalah orang yang paling hampir dan rapat dengan anak-anak, oleh itu menjadi tanggungjawab mereka memberikan didikan agama yang lengkap kepada anak-anak mereka. Bapa merupakan ketua keluarga. Latarbelakang bapa banyak mempengaruhi pembentukan karakter seseorang anak. Bapa yang mempunyai budaya kehidupan yang bersih, mempunyai budaya akhlaq yang jernih dan budaya pemikiran yang analatikal akan mampu membentuk budaya rumahtangga yang bertanggungjawab. Sebaliknya jika seorang bapa mempunyai budaya kehidupan yang tidak teratur, sikap pemarah, panas baran, dan tidak menggalakkan budaya berfikir kritikal dikalangan anak-anak akan membentuk budaya rumahtangga yang stress, bercakaran dan saling bergaduh. Anak-anak ini akan melihat cara dan gaya Si Bapa sebagai contoh awal dalam membetuk karakter peribadi mereka.


Persekitaran budaya sekolah

Sekolah institusi pendidikan sekunder bagi pelajar. Budaya sekolah biasanya adalah berteraskan kepada pembentukan akademi dan hanya sedikit penekanan kepada pembinaan sahsiah dan akhlaq. Walaubagaimanapun kes-kes buli paling kerap berlaku di sekolah terutama di lokasi-lokasi seperti di dalam kelas, di kantin semasa rehat, di dalam perjalanan ke sekolah dan di dalam perjalanan dari sekolah (Azizi Hj Yahya & Abdul Latiif Ahmad 2005), dan per kes ini pula tidak menunjukkan penurunan yang ketara tetapi lebih bersifat pseunosodial (turun naik). Menurut Datuk Mahadzir Mohd. Khir (2004), dalam jawapan balasnya kepada YB Salahudin Ayub di Parlimen, beliau menyatakan sebanyak 155 kes kesalahan seksual berlaku sepangjang tahun 2000, diikuti 185 pada tahun berikutnya. Angka ini turun semula kepada 137 kes pada tahun 2002 dan catatan terakhir pada 2003 menunjukkan peningkatan kes kesalahan seksual sebanyak 195 kes. Berikut tadi adalah gambaran per kes. Maklumat daripada Pelan Induk Pembangunan (2007) menyatakan ada penurunan sebanyak 2.07 kes displin pelajar keseluruhannya dari 2003 ke 2004, walaubagaimanapun jika kita perhatikan data per kes, bagi tahun 2003 (Januari – Julai) sahaja kes yang dicatatkan adalah sebanyak 1662 dengan 3 kematian. Ini adalah satu angka yang besar dan mewakili populasi pelajar khususnya sekolah menengah. Ini bermaksud, kes ini memberi scenario negative persekitaran budaya sekolah-sekolah di Malaysia.



Persekitaran budaya masyarakat

Abdul Rahim (1980) menyatakan perlu ada penerapan persamaan displin pelajar samaada di rumah, sekolah mahupun di dalam masyarakat. Persamaan penerapan displin ini boleh dilaksanakan salah satunya dengan pendekatan kurikulum merentas. Dalam sebuah laporan akhbar bertajuk pembuli cuba menipu diri sendiri (2004), Prof. Dr Suradi Salim Pensyarah Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya menyatakan kurikulum yang padat dengan muatan ilmiah dan akademik sahaja diwaktu ini menyebabkan pelajar tidak dapat berinteraksi baik dengan masyarakat. Ini menyebabkan masyarakat juga bersikap dingin dengan apa yang berlaku dipersekitaran sekolah terutama isu-isu displin yang melibatkan pelajar.

Penulis bahagikan faktor ini kepada tiga elemen utama:-

  • Sekolah sekitar
  • Maklumat
  • Suasana sekitar
  • Masyarakt sekitar

Sekolah sekitar adalah rangkaian sekolah-sekolah lain yang berdekatan dengan sekolah seseorang pelajar. Sekolah berdekatan sangat-sangat mempengaruhi perkembangan karakter pelajar. Melalui pengalaman penulis, ada dua keadaan yang biasanya berlaku, 1) Pelajar membentuk kumpulan kecil yang berkonfrantasi dengan sekolah-sekolah sekitar dan 2) Pelajar mencari jaringan kumpulan dengan pelajar dari sekolah berdekatan yang biasanya akan mencetuskan kumpulan haram dan kongsi gelap.

RUJUKAN

Abdul Rahim. 1980. Penerapan displin pelajar yang sama di rumah, sekolah dan masyarakat. Dlm. Haji Dzulkarnaian bin Haji Abdul Rahman. Persepsi guru tentang displin pelajar & peranan pengetua sekolah: satu tinjauan di sekolah-sekolah menengah Daerah Kinta Perak, hlm 73.

Aris dan Noor. 2005. Masalah Buli Di Sekolah. Seminar Pendidikan Fakulti Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor, 15 Oktober .

Azizi Hj Yahya dan Abdul latif Ahmad. 2005. Persepsi guru dan pelajar terhadap perlakuan buli dikalangan pelajar sekolah menengah Daerah Batu Pahat. Jurnal Teknologi UTM 43(E): 63-86.

Azman Ismail. 2004. Pelajar miskin lebih mudah terjebak gengsterisme. Utusan Malaysia, 26 April.

Emosi pembuli mangsa tercalar. 2004. Utusan Malaysia, 11 April.

Empat puluh cadangan tangani displin pelajar. 2004. Utusan Malaysia, 8 Disember.

Haji Dzulkarnaian bin Haji Abdul Rahman. 1992. Persepsi guru tentang displin pelajar & peranan pengetua sekolah: satu tinjauan di sekolah-sekolah menengah Daerah Kinta Perak. Tesis Sarjana. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kabinet bimbang masalah remaja. 2004. Utusan Malaysia, 23 Jun.

Marzita Abdullah. 2004. Tabiat di sekolah: Terbawa-bawa sehingga dewasa. Berita Harian, 5 November.

Noran Fauziah. 2007. Empat langkah halang perbuatan buli. Utusan Malaysia, 17 Ogos.

Parsona. 1964. Kilang tempat proses peribadi manusia. Dlm. Haji Dzulkarnaian bin Haji Abdul Rahman. Persepsi guru tentang displin pelajar & peranan pengetua sekolah: satu tinjauan di sekolah-sekolah menengah Daerah Kinta Perak, hlm 30.

Pelan Induk Pembangunan. 2007. Bab 4: Membina Negara Bangsa. (atas talian) http://www.pmo.gov.my/website/webdb.nsf/c204a026ddc49a4a482570d900339156/5ba437303ea4003c482572660002168b?OpenDocument (10 Ogos 2007)

Pembuli cuba menipu diri sendiri. 2004. Utusan Malaysia, 11 April.

Rajaguru & Daud samad. 1982. Sikap negatif ibu bapa. Dlm. Haji Dzulkarnaian bin Haji Abdul Rahman. Persepsi guru tentang displin pelajar & peranan pengetua sekolah: satu tinjauan di sekolah-sekolah menengah Daerah Kinta Perak, hlm 101.

Sebanyak 672 kes cabul, 176 kes ala samseng berlaku di sekolah. 2004. Utusan Malaysia, 1 Jun

Sharifah Alwiah. 1986. Pelajar yang tidak mendapat kasih sayang. Dlm. Haji Dzulkarnaian bin Haji Abdul Rahman. Persepsi guru tentang displin pelajar & peranan pengetua sekolah: satu tinjauan di sekolah-sekolah menengah Daerah Kinta Perak, hlm 45.

Yulpisman Asli. 2004. Empat jawatankuasa atasi salah laku murid. Utusan Malaysia, 20 Julai.