Friday, January 15, 2010

Kata-kata Sakti Abah

Bismillah

Saya sedang memandu tadi sambil mendengar radio IKIM. Kebetulan Dr. Fazilah Kamsah ke udara. Saya sebenarnya kurang berminat dengan motivator kerana seorang motivator apabila diganding dengan seorang ulama tersohor pasti katanya tenggelam dalam hikmah dan hujah qoth’i sang ustaz. Sebab itu motivasi bagi saya adalah apabila kita dapat menggali hikmah dan hujah quran dan sirah.

Bagaimanapun, ada pelajaran yang kita boleh belajar daripada manusia lewat pengalaman-pengalaman mereka dan interaksi mereka dengan ilmu dan kajian ilmiah. Dr. Fazilah Kamsah menyebut

“SATU kata-kata positif seorang abah / ayah dapat memadamkan 200 kata kejian dan kutukan yang pernah dia lemparkan kepada anaknya”

Subhanallah, mengalir air mata saya mendengar untaian kata ini. Terus kotak memori saya mem’flash’ back setiap peristiwa dengan abah, kata-katanya, sosok tubuhnya terus bermain-main dalam kepala.

Abah memang seorang pendiam tapi garang. Tak cukup dengan tali pinggang, pembaris panjang, hanger plastik, batang paip pun pernah hinggap dekat badan ni bila abah naik angin. Kerusi rumah pernahterbang dibuatnya.

Bila kita dah besar baru kita rasionalkan kembali setiap tingkah laku abah. Kehidupan abah tak serupa dengan kita, boleh belajar hingga ke universiti bekerja kondusif dan mudah. Jalan hidup Abah cukup kasar, perit, dibasahi keringat dan air mata. Abah pernah bawa lori, jadi konduktor bas, menoreh getah berpuluh ekar sebulan, angkat lantun yang beratnya berpuluh-puluh kilo,berniaga pasar malam, jual roti canai dan pelbagai lagi kerja-kerja berat lain.

Justeru tidak hairan nanti cara dia mendidik anak juga kasar. Tapi abah tetap abah. Abah tetap berusaha beri pelajaran kami adik beradik, abah terus berusaha memberi yang terbaik untuk keluarga, makan pakaian dan tempat tinggal.

Ada beberapa kata-kata abah yang ringkas tapi memberi kesan kepada saya sehingga hari ini. Ada satu hari Abah berkata “Abang lebih bagus bisnes daripada abah”. Wah, saya merasa seperti seoarang anak yang diberi tahta kerajaan (sigh). Abah kata aku lebih bagus bisnes, sedangkan abah pernah berniaga dan sehingga sekarang pun abah berniaga.

Tetapi dari hari itulah sebenarnya memberi satu watak baru dalam diri saya bahawa saya adalah businessman dan saya lebih baik bisnes daripada abah dan saya harus buktikan. Memanglah salah satu motivasi saya berniaga adalah daripada tuntutan Islam itu, tetapi kata-kata abah menambah bekas dan betul-betul meransang.

Sejak dari itulah saya mula merancang dan meneroka bisnes. Satu persatu saya susun dengan bekal ilmu dan bekal jatidiri seorang mahasiswa. Kesannya sekarang saya sedang mengendalikan 3 syarikat. Syarikat pertama syarikat IT & Computing telah mempunyai 2 cawangan satu di Bangi dan satu lagi di kampung. Cawangan di kampung di urus sepenuhnya oleh ayah. Syarikat kedua adalah syarikat training & consultancy, walaupun masih baru tetapi telah mempunyai sejarah dan track record sendiri dan sehingga sekarang masih berjalan dan syarikat terakhir adalah syarikat telekomunikasi yang menjadi kontraktor penuh Telekom Malaysia.