Thursday, March 08, 2007

Pedihnya PLKN

Pandangan umum terhadap isu PLKN

Saya berminat untuk mengulas tajuk akhbar “Tiada sebab batal PLKN: Lee” bertarikh 5 March 2007 hasil temuramah wartawan berita harian dengan Tan Sri Lee Lam Thye Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara. Didalam artikel itu dirujuk pada angka kematian 0.002% pelatih PLKN sejak awal penubuhannya, tidak akan memberi impak besar sehingga membawa kepada sebarang keputusan yang membolehkan program ini ditangguhkan atau diberhentikan melainkan jika ada keputusan rasmi daripada pihak kerajaan. Kenyataan ini dibuat setelah ada desakan daripada beberapa buah pertubuhan yang meminta agar Program ini ditangguhkan atau ditamatkan serta merta.

Pada hemat saya yang telah mengikuti perkembangan “cerita” PLKN ini sejak tiga tahun yang lalu, ada beberapa kes yang sinonim dengan PLKN. Kes pergaduhan, kes rogol, kematian, tekanan jiwa telah menjadi satu gambaran publik terhadap program yang berskala nasional ini. Biasanya perspektif masyarakat banyak menentukan dokongan terhadap sesebuah program. Jika program ini telah mendapat publisiti publik yang buruk, maka secara umumnya dia telah gagal meyakinkan peserta program dan lebih-lebih lagi ibu bapa mereka walaupun kemudiannya fakta-fakta angka, iklan-iklan ringkas dipertontonkan kepada masyarakt bagi mengembalikan kepercayaan mereka terhadap program ini.

Melalui pemerhatian umum saya, ada beberapa faktor yang menyumbang kepada “ketidakcekapan” program ini iaitu tidak berlaku proses pengumpulan maklumat peserta yang komprehensif dan terkini, tidak tersedia kurikulum khusus dan bersepadu, tidak diadakan perancangan yang terperinci sehingga membawa kepada gagal meletakkan objektif akhir daripada program ini.

Saya berasa agak khuatir dengan kenyataan Pengerusi Majlis berkenaan, dimana jika angka 0.002% ini dianggap ringan, maka bagi Majlis ini persoalan kematian dan nyawa individu adalah dianggap persoalan konsesus atau angka paras seperti layaknya kita meletakkan harga syiling terhadap bekalan makanan domestic Negara. Seorang individu itu sebenarnya akan membentuk beberapa konstitusi kecil. Jika berlaku kematian terhadap seorang indvidu sahaja, maka perkara itu sebenarnya telah membunuh banyak konstitusi seperti konstitusi keluarga, konstitusi pendidikan, konstitusi agama, konstitusi masyarakat dan seterusnya akan melumpukan konstitusi Negara.

Bayangkan lumpuhnya perasaan keluarga peserta malang tadi. Harapan kepada anaknya pergi dan kembali dengan selamat berkecai bila mendengar berita kematian, kesengsaraan, kesakitan dan apa sahaja peristiwa buruk yang menimpa anak mereka. Sebenarnya impak ini akan membarah dalam keluarga berkenaan, seterusya barah ini merebak dan memasyarakat dan seterusnya menjadi pandangan umum terhadap isu PLKN. Tidak cukup sekadar merubah pandangan umum ini dengan pendekatan media massa kerana barah adalah barah. Ia perlu dibuang bagi mengelakkan menjadi lebih parah sehingga dizahirkan dalam bentuk emosi.