Thursday, December 04, 2008

Malam Cinta Kang Abik - 2

Inilah Habiburahman
Oleh: Asadullah

(artikel ini adalah jawapan kepada Artikel bertajuk, Godam: Mengapa Berkiblatkan Penulisan Indonesia di dalam Berita Harian 4 Dis 2008)

Program ini bukan semata mata belajar bagaimana menyasterakan penulisan dengan bahasa-bahasa sulit dengan madah-madah bersumberat yang sukar difahami. Program ini juga bukan semata-mata mengkaji Hikaya Merongmahawangsa yang tidak jelas nas dan masdarnya baik yang aqli mahupun naqli. Program ini juga bukan semata-mata belajar daripada penulis sejarah Melaka yang al-kisah Puteri Bongsunya boleh terbang ke sini ke sana, bersatu dengan wali-wali Allah dan mimpi Ali sehingga sastera syiahnya lebih jelas daripada mesej sejarah dan agama.


Program ini lebih luas jangkauan ahdafnya. Program ini adalah program memanusiakan manusia, program yang mensimulasikan firman Allah dan hadith Rasullah dalam bentuk kisah hidup yang hakiki bukan cerita ilusi,fantasi dan berkhayal tak tentu arah. Program ini melihat bagaimana orang Mesir tidak lebih baik darajatnya daripada orang Indonesia. Program ini menyelami hati Maria si koptik yang lebih bening hatinya berbanding Noura lepasan Maahad Al-Azhar.


Kenapa yang mengaku sasterawan itu tidak menyembur pembicaraannya sewaktu Shah Rukh Khan bakal mengelilingi Melaka pada 6 Disember ini? Apa sumbangan beliau pada akidah, apa sumbangan beliau kepada keberlangsungan warisan Nabi Al-Amin? Kenapa sasterawan itu tidak menyembur perbincaraannya sewaktu Inul ketat sendat mahunya untuk mengerudi di Malaysia? Apa seninya Inul berbanding Habiburahman yang mengangkat kalam Allah di dalam karyanya.


Mana pergi jegilnya sasterawan itu tatkala beribu-ribu lagi Sastera porno & bahan kumuh dari Barat masuk ke tanahair. Kenapa Habiburahman yang mengangkat harakat manusia ke telapaknya dijadikan bahan labun tempat melampiaskan kemarahannya.


Apa tahi tidak busuk. Tahi mesti busuk walaupun dibalut dengan surat khabar sastera lama. Tetapi tahi tetap sastera bilamana sasterawan menyastrakannya. Begitulah bicara sastera yang tidak berbobot dan berperaturan. Paling tidak karya Habiburahman telah terbukti berjaya mengungkap realiti sebuah penulisan yang mempunyai pijakan idealisme yang jelas, perjuangan yang bersandar, bait-bait kata yang berdalil dan bersabda, bahasa-bahasa yang santai tetapi berjiwa, karya-karya sederhana tetapi lang buana.


Inilah Habiburahman. Kamu apa yang telah kamu hasilkan?