Alhamdulilah, mutaakhir ini terdapat ramai muda-mudi yang cenderung memilih penulisan sebagai medium dakwah atau medium untuk berkongsi pengalaman hidup. Sebenarnya terdapat perbezaan yang besar yang perlu diperhatikan di dalam tema penulisan. Penulisan dibahagikan kepada dua iaitu penulisan popular dan penulisan akademik (juriah 2007). Saya sentuh terlebih dahulu berkaitan penulisan akademik kerana alhamdulilah Allah beri saya kesempatan untuk berkecimpung di dalam dunia akademik hampir 20 tahun.
Penulisan akademik adalah penulisan yang paling kering. Penulisan akademik tidak dipengaruhi oleh kecenderungan emosi atau naluri penulis sebaliknya hanya bergantung kepada rujukan-rujukan ilmiah (diterbitkan atau tidak diterbitkan) semata-mata. Istilah diterbitkan atau tidak diterbitkan perlu difahami terlebih dahulu. Rujukan ilmiah yang diterbitkan adalah semua rujukan yang telah melalui proses "peer reviewing" di dalam school of thoughts masing-masing. Contoh sekiranya seseorang menulis tentang isu-isu berkaitan pendidikan, tulisan mereka perlu diedarkan ke seluruh dunia pendidikan untuk dikritik dan dinilai. Di sini, penulis berhak mempertahankan penulisan mereka dengan hujah dan bukan emosi. Penulis juga perlu menerima pendapat dan kritikan yang diberikan bagi menambahbaik penulisannya.
Bagi rujukan tidak diterbitkan pula adalah semua penulisan yang berbentuk disertasi, thesis, laporan praktikum atau kertas projek. Penulisan ini banyak terdapat disemua shelf perpustakaan-perpustakaan universiti di seluruh dunia. Penulisan ini hanya dinilai oleh satu komiti penilai yang kecil (contoh graduate commitee) dan seterusnya disahkan sebagai satu syarat untuk mendapat ijazah, sarjana atau doktor.
Ditekankan sekali lagi, penulisan ilmiah adalah satu penulisan yang kering dan kaku. Penulisan ini hanya dibaca oleh audien di dalam sektor pemikiran masing-masing. Kering dan kaku bukanlah satu konotasi kurang baik, tetapi menunjukkan betapa penulisan ini tidak menjadi pilihan banyak penulis (termasuk saya) dan juga penulisan ini tidak dapat dikuasi oleh kebanyakkan orang walaupun mereka sudah lama menulis.
Berbalik kepada penulisan popular. Penulisan popular adalah penulisan yang berlatarbelakangkan perasaan, emosi, kecenderungan peribadi, pengalaman dan intuisi. Penulisan ini cukup segar dan cerah. Penulisan popular, dari segi istilah dan kandungan sebenarnya tidak pernah diiktiraf oleh ahli akademik sebagai penulisan ilmiah walaupun penulis popular mengungkapkan rujukan mereka. Walaubagaimanapun, penulisan ini banyak membawa audien awam kepada satu kaedah, pemikiran, fikrah yang disampaikan oleh penulis popular dengan jayanya.