Tuesday, November 06, 2007

unpublished journal

Buli di Sekolah: Siapa Patut Dipersalahkan

Oleh

Mohammd Hafiz b Mohd Yusof

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia


PENGENALAN

Sejarah awal manusia sudah dimulai dengan fitrah kemanusian yang tidak pernah berpuas hati dengan apa yang mereka miliki. Tamadun Rom, Parsi wujud kekejaman sesama manusia. Manusia yang lemah akan dijadikan bahan tekanan, permainan dan hiburan oleh manusia yang kuat dan berkuasa.

Kes buli merupakan rentetan dari perjalanan sejarah manusia. Kes buli sebenarnya tidak boleh diskopkan kepada pelajar-pelajar sekolah tetapi ia adalah konflik kemanusian yang dihadapi oleh manusia dari awal sejarah manusia. Beberapa kronologi kes buli ini disingkap oleh akbhar Utusan Malaysia (2004) edisi 31 Mac 2004 bermula daripada kes Gan En Teck pada Mac 2002 seorang pelajar sekolah swasta di Johor Bharu yang cedera parah dibelasah 10 orang samseng, kes seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Mambau Seremban pada Mei 2002 cedera dibelasah dihadapan surau, kes seorang pelajar Sekolah Perantis Putra Tentera Darat di Port Dickson pada Julai 2003 yang patah tulang rusuk kanan setelah dipukul oleh kira-kira 30 orang pelajar lelaki, kes Mohd Hafizi Jumhari pada 14 Ogos 2003 pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat yang kehilangan fungsi buah pinggang kiri akibat dibelasah, Kes Ahmad Firdaus Zakarian, 15 pada 31 Oktober 2003 yang maut selepas tiga hari koma di Hospital Port Dickson akibat dipukul oleh sekumpulan pelajar dengan objek tumpul di kepalanya sehinggalah kepada kes tergempar sehingga menjadi isu nasional iaitu kes kematian adik Mohamad Farid Ibrahim, 14 dari Sekolah Menengah Agama Datuk Klana Petra Maamor Seremba yang meninggal dunia akibat dibelasah oleh 14 pelajar senior menggunakan but askar.

Di dalam laporan akhbar bertajuk ‘Empat puluh cadangan tangani displin pelajar’ (2004) bekas Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Musa Hassan sebanyak 40 hingga 50 peratus daripada kes juvana adalah terdiri daripada pelajar sekolah. Januari sehingga Oktober 2004, sebanyak 2387 tanggkapan pelajar dibuat yang melibatkan 1275 kes berbanding 3016 kes juvana dengan 4674 tangkapan. Kumpulan-kumpulan samseng juga menjadikan pelajar sekolah sebagai anggota baru mereka. Mereka merekrut para pelajar yang kebiasaan hidup liar dan bebas dari kawalan guru-guru dan keluarga.

LITERATUR

Isu buli ini telah sampai sehingga ke perhatian kabinet. Di dalam mesyuarat kabinet 23 Jun 2004 seperti yang dilaporkan di dalam akhbar bertajuk ‘Kabinet bimbang masalah remaja’ (2004) Perdana Menteri menyampaikan kerisauan dan kebimbangan kabinet terhadap penigkatan masalah social di kalangan remaja di Negara ini dan mahu ia segera ditangani. Kawasan-kawasan bandar yang terdapat gerakan-gerakan samseng bawah tanah perlu dihapuskan. Program-program anti dadah, anti jenayah juvanel perlu digiatkan, memperkasakan sekolah kebangsaan dengan menjadikannya sekolah pilihan utama perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Menurut beliau, masalah buli ini boleh diatasi dengan mengutamakan pendidikan. Beliau dan timbalannya juga bersetuju untuk meningkatkan jumlah anggota polis siap dengan kelengkapan latihan, anggota dan logistik yang mencukupi dalam usaha membendung jenayah di negara ini. Ini kerana keperluan yang munasabah akan membantuk usaha polis membasmi jenayah dengan lebih berkesan.

Di dalam artikel diakhbar bertajuk emosi pembuli mangsa tercalar (2004), Prof. Madya Dr. Zasmani Syafie seorang pakar di Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan mangsa buli terlalu takut untuk memaklumkan cerita perkara buli yang terjadi keatas mereka, dan lebih malang lagi, ada juga mangsa yang mengadu tetapi keluarga terutama ibu bapa mengambil mudah dengan mengatakan ia adalah sesuatu yang normal.

Noran Fauziah (2007) menulis rencana bertajuk empat langkah menghalang perbuatan buli yang bermula dari tahap sekolah, tahap kelas dan tahap individu.

Marzita Abdullah (2007) turut menulis sebuah yang merumuskan beberapa punca tabiat buli di sekolah. Pertama disebabkan kerana persekitaran sekolah yang wujud perhubungan negatif pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Bagi masalah ini beliau mencadangkan guru-guru melakukan ujian sosiometri untuk mendapatkan maklumat tentang status perhubungan sosial pelajar. Masalah kedua adalah ibu bapa yang mengamalkan gaya keibu-bapaan yang salah. Dalam kajian yang dipetik daripada Noran Fauziah mendapati hanya 12% daripada ibu bapa pelajar yang membuli berbincang dengan anak-anak mereka. Ini menunjukkan satu jurang perhubungan wujud diantara ibu bapa dan anak-anak mereka. Seterusnya beliau mencadangkan agar ibu bapa untuk sering menghubungi pihak sekolah dan terlibat aktif dalam program anti-buli anjuran sekolah.

Aris dan Noor (2005) pula menjelaskan tentang masalah buli di sekolah dari sudut definisi buli, jenis buli dan ciri mangsa dan pembuli. Secara kesimpulannya beliau menyatakan sikap pelajar pembuli terhasil dari pengalaman lama (menjadi junior) di sekolah yang turut dibuli. Seterusnya mereka cenderung untuk melakukan perkara yang sama ketika mereka menjadi senior. Sifat membalas dendam akibat tekanan, deraan fizikal dan psikologi di zaman kanak-kanak ini telah dinyatakan oleh Sigmund Freud. Akhir sekali, beberapa cadangan digariskan oleh beliau bagi menangani masalah buli iaitu diperingkat individu, diperingkat kelas, diperingkat sekolah, diperingkat ibu bapa, diperingkat Jabatan Pelajaran Negeri dan diperingkat Kementerian Pelajaran.

PUNCA-PUNCA

Daripada hasil bacaan literatur. Penulis menyimpulkan tiga konteks yang boleh menjadi punca kes buli. Tiga konteks tersebut adalah:-

1) Persekitaran budaya rumah

2) Persekitaran budaya sekolah

3) Persekitaran budaya masyarakat

Persekitran budaya rumah


Rumah merupakan institusi pembinaan insan yang pertama bagi seseorang pelajar. Ini kerana, menurut Sharifah Alwiah (1986) pelajar-pelajar yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang di rumah akan cenderung membawa masalah displin ke sekolah. Oleh kerana rumah sebagai tempat membina kasih sayang sehingga muncul peribadi anak yang mulus, Parsona (1964) mengumpamakannya sebagai kilang tempat memproses peribadi manusia. Terdapat beberapa elemen yang membentuk persekitaran rumah yang seterusnya akan membentuk budaya rumah itu sendiri. Elemen-elemen tersebut adalah:-

  • Bapa
  • Ibu
  • Adik-beradik
  • Saudara-mara

Di dalam penulisan Aris dan Noor (2005) menyatakan bapa dan ibu adalah orang yang paling hampir dan rapat dengan anak-anak, oleh itu menjadi tanggungjawab mereka memberikan didikan agama yang lengkap kepada anak-anak mereka. Bapa merupakan ketua keluarga. Latarbelakang bapa banyak mempengaruhi pembentukan karakter seseorang anak. Bapa yang mempunyai budaya kehidupan yang bersih, mempunyai budaya akhlaq yang jernih dan budaya pemikiran yang analatikal akan mampu membentuk budaya rumahtangga yang bertanggungjawab. Sebaliknya jika seorang bapa mempunyai budaya kehidupan yang tidak teratur, sikap pemarah, panas baran, dan tidak menggalakkan budaya berfikir kritikal dikalangan anak-anak akan membentuk budaya rumahtangga yang stress, bercakaran dan saling bergaduh. Anak-anak ini akan melihat cara dan gaya Si Bapa sebagai contoh awal dalam membetuk karakter peribadi mereka.


Persekitaran budaya sekolah

Sekolah institusi pendidikan sekunder bagi pelajar. Budaya sekolah biasanya adalah berteraskan kepada pembentukan akademi dan hanya sedikit penekanan kepada pembinaan sahsiah dan akhlaq. Walaubagaimanapun kes-kes buli paling kerap berlaku di sekolah terutama di lokasi-lokasi seperti di dalam kelas, di kantin semasa rehat, di dalam perjalanan ke sekolah dan di dalam perjalanan dari sekolah (Azizi Hj Yahya & Abdul Latiif Ahmad 2005), dan per kes ini pula tidak menunjukkan penurunan yang ketara tetapi lebih bersifat pseunosodial (turun naik). Menurut Datuk Mahadzir Mohd. Khir (2004), dalam jawapan balasnya kepada YB Salahudin Ayub di Parlimen, beliau menyatakan sebanyak 155 kes kesalahan seksual berlaku sepangjang tahun 2000, diikuti 185 pada tahun berikutnya. Angka ini turun semula kepada 137 kes pada tahun 2002 dan catatan terakhir pada 2003 menunjukkan peningkatan kes kesalahan seksual sebanyak 195 kes. Berikut tadi adalah gambaran per kes. Maklumat daripada Pelan Induk Pembangunan (2007) menyatakan ada penurunan sebanyak 2.07 kes displin pelajar keseluruhannya dari 2003 ke 2004, walaubagaimanapun jika kita perhatikan data per kes, bagi tahun 2003 (Januari – Julai) sahaja kes yang dicatatkan adalah sebanyak 1662 dengan 3 kematian. Ini adalah satu angka yang besar dan mewakili populasi pelajar khususnya sekolah menengah. Ini bermaksud, kes ini memberi scenario negative persekitaran budaya sekolah-sekolah di Malaysia.



Persekitaran budaya masyarakat

Abdul Rahim (1980) menyatakan perlu ada penerapan persamaan displin pelajar samaada di rumah, sekolah mahupun di dalam masyarakat. Persamaan penerapan displin ini boleh dilaksanakan salah satunya dengan pendekatan kurikulum merentas. Dalam sebuah laporan akhbar bertajuk pembuli cuba menipu diri sendiri (2004), Prof. Dr Suradi Salim Pensyarah Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya menyatakan kurikulum yang padat dengan muatan ilmiah dan akademik sahaja diwaktu ini menyebabkan pelajar tidak dapat berinteraksi baik dengan masyarakat. Ini menyebabkan masyarakat juga bersikap dingin dengan apa yang berlaku dipersekitaran sekolah terutama isu-isu displin yang melibatkan pelajar.

Penulis bahagikan faktor ini kepada tiga elemen utama:-

  • Sekolah sekitar
  • Maklumat
  • Suasana sekitar
  • Masyarakt sekitar

Sekolah sekitar adalah rangkaian sekolah-sekolah lain yang berdekatan dengan sekolah seseorang pelajar. Sekolah berdekatan sangat-sangat mempengaruhi perkembangan karakter pelajar. Melalui pengalaman penulis, ada dua keadaan yang biasanya berlaku, 1) Pelajar membentuk kumpulan kecil yang berkonfrantasi dengan sekolah-sekolah sekitar dan 2) Pelajar mencari jaringan kumpulan dengan pelajar dari sekolah berdekatan yang biasanya akan mencetuskan kumpulan haram dan kongsi gelap.

RUJUKAN

Abdul Rahim. 1980. Penerapan displin pelajar yang sama di rumah, sekolah dan masyarakat. Dlm. Haji Dzulkarnaian bin Haji Abdul Rahman. Persepsi guru tentang displin pelajar & peranan pengetua sekolah: satu tinjauan di sekolah-sekolah menengah Daerah Kinta Perak, hlm 73.

Aris dan Noor. 2005. Masalah Buli Di Sekolah. Seminar Pendidikan Fakulti Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor, 15 Oktober .

Azizi Hj Yahya dan Abdul latif Ahmad. 2005. Persepsi guru dan pelajar terhadap perlakuan buli dikalangan pelajar sekolah menengah Daerah Batu Pahat. Jurnal Teknologi UTM 43(E): 63-86.

Azman Ismail. 2004. Pelajar miskin lebih mudah terjebak gengsterisme. Utusan Malaysia, 26 April.

Emosi pembuli mangsa tercalar. 2004. Utusan Malaysia, 11 April.

Empat puluh cadangan tangani displin pelajar. 2004. Utusan Malaysia, 8 Disember.

Haji Dzulkarnaian bin Haji Abdul Rahman. 1992. Persepsi guru tentang displin pelajar & peranan pengetua sekolah: satu tinjauan di sekolah-sekolah menengah Daerah Kinta Perak. Tesis Sarjana. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kabinet bimbang masalah remaja. 2004. Utusan Malaysia, 23 Jun.

Marzita Abdullah. 2004. Tabiat di sekolah: Terbawa-bawa sehingga dewasa. Berita Harian, 5 November.

Noran Fauziah. 2007. Empat langkah halang perbuatan buli. Utusan Malaysia, 17 Ogos.

Parsona. 1964. Kilang tempat proses peribadi manusia. Dlm. Haji Dzulkarnaian bin Haji Abdul Rahman. Persepsi guru tentang displin pelajar & peranan pengetua sekolah: satu tinjauan di sekolah-sekolah menengah Daerah Kinta Perak, hlm 30.

Pelan Induk Pembangunan. 2007. Bab 4: Membina Negara Bangsa. (atas talian) http://www.pmo.gov.my/website/webdb.nsf/c204a026ddc49a4a482570d900339156/5ba437303ea4003c482572660002168b?OpenDocument (10 Ogos 2007)

Pembuli cuba menipu diri sendiri. 2004. Utusan Malaysia, 11 April.

Rajaguru & Daud samad. 1982. Sikap negatif ibu bapa. Dlm. Haji Dzulkarnaian bin Haji Abdul Rahman. Persepsi guru tentang displin pelajar & peranan pengetua sekolah: satu tinjauan di sekolah-sekolah menengah Daerah Kinta Perak, hlm 101.

Sebanyak 672 kes cabul, 176 kes ala samseng berlaku di sekolah. 2004. Utusan Malaysia, 1 Jun

Sharifah Alwiah. 1986. Pelajar yang tidak mendapat kasih sayang. Dlm. Haji Dzulkarnaian bin Haji Abdul Rahman. Persepsi guru tentang displin pelajar & peranan pengetua sekolah: satu tinjauan di sekolah-sekolah menengah Daerah Kinta Perak, hlm 45.

Yulpisman Asli. 2004. Empat jawatankuasa atasi salah laku murid. Utusan Malaysia, 20 Julai.