Saturday, November 17, 2007

Isu raja murka perhimpunan haram 10Nov2007

Berikut adalah laporan Berita Harian

Seri Paduka kesal perhimpunan haram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Negara tidak pernah memperkenankan atau menyokong mana-mana pihak yang menganjurkan atau terbabit dalam perhimpunan haram di ibu negara, 10 November lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan, menegaskan Seri Paduka kesal kerana beberapa pihak tertentu mendakwa perhimpunan haram itu mendapat perkenan dan sokongan baginda serta Istana Negara.

"Sesungguhnya Seri Paduka amat kesal dengan perhimpunan haram yang diadakan itu, lebih-lebih lagi kerana ada dakwaan daripada beberapa pihak tertentu bahawa Tuanku dan Istana Negara memperkenankan serta menyokong perhimpunan haram itu.

"Seri Paduka ingin menegaskan bahawa baginda dan Istana Negara tidak pernah pada bila-bila masa memperkenankan atau memberikan apa-apa sokongan, secara langsung atau tidak langsung, kepada mana-mana pihak yang menganjurkan atau terbabit dalam perhimpunan haram itu dan apa juga kegiatan lain yang menyalahi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan atas titah Yang di-Pertuan Agong itu, merujuk perhimpunan haram di ibu negara 10 November lalu dan memorandum yang dikemukakan kepada Istana Negara pada hari sama oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang didalangi beberapa parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO).


Sebelum itu, Wan Mohd Safiain mengadakan sidang media di Istana Negara, bagi menjelaskan mengenai kenyataan berkenaan. Hadir sama ialah Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Mohd Zuki Ali.

Ini adalah kali pertama Istana Negara mengadakan sidang media bagi memperjelaskan mengenai sesuatu isu.

Isnin lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar, dalam satu kenyataan mendakwa, gabungan itu mengambil keputusan menyerahkan memorandum berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong selepas Seri Paduka sendiri memberikan perkenan.

Tindakan pembangkang itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkannya sebagai cubaan mengheret institusi raja, terutama Yang di-Pertuan Agong, ke kancah politik.

Wan Mohd Safiain dalam kenyataan tiga halaman itu berkata, sebagai ketua utama negara, tanggungjawab Seri Paduka adalah untuk memastikan sistem pentadbiran negara berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sentiasa dihormati dan dipatuhi semua.

Beliau berkata, Seri Paduka berharap rakyat tidak membabitkan diri dalam sebarang kegiatan atau tindakan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang.

"Sesungguhnya setiap rakyat bertanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.

"Seri Paduka berharap agar rakyat dapat bersama-sama mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan demi membina negara yang lebih makmur, bersatu padu dan dihormati," katanya.


berikut adalah laporan harakahdaily.net, mengambil intisari penulisan Raja Petra

Benarkah Sultan Mizan murka?

'Tuanku Mizan Kesal Dakwaan Baginda Sokong Perhimpunan Haram' itulah tajuk berita yang dikeluarkan oleh Bernama, yang dianggap oleh Raja Petra sebagai satu 'permainan silapmata' di Laman Malaysia Today. Artikel ini adalah terjemahan bebas dari tulisan Raja Petra di dalam kolumnya 'The Corridor of Power'.

Kepada rakyat bawahan pastinya pengumuman begitu sesuatu yang 'serius'. Pegawai tinggi Istana Negara Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan mengeluarkan kenyataan bagi pihak Agong! Siapa sebenarnya Dato' Wan Mohd Safiain?...

Wan Safiain berasal dari Terengganu yang berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri, yang mana sebenarnya seluruh pejabat Istana adalah dibawah Jabatan Perdana Menteri. Pegawai-pegawai yang bekerja di istana Negara adalah sebenarnya pegawai kerajaan yang di'tanam' di istana untuk menjadi mata, telinga dan kadang-kadang menjadi 'mulut' kerajaan. Oleh kerana itu, sekarang kita ketahui bagaimana kerja Jabatan Perdana Menteri di Istana Negara.

Kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini bukan keluar dari DYMM Agong, kerana ia tidak dikeluarkan oleh Penyimpan Besar Mohor Raja-raja. tetapi adalah dari pegawai kerajaan Malaysia.

Apabila 100,000 rakyat minta perkenan Agong untuk mengadap pada 10 November lalu, Agong tidak mengatakan 'tidak mahu' menerima 100,000 orang rakyat untuk mengadap beliau. Agong bahkan mahu mengetahui berapa ramai yang akan mewakili 100,000 rakyat dan nama-nama mereka yang akan mengadap.

Agong juga menyedari bahawa kerajaan akan cuba mengecewakan usaha 100,000 rakyat untuk mengadap beliau. Dan itulah yang telah terjadi. Kerajaan meletakkan syarat supaya rakyat memohon permit untuk berhimpun mengadap Agong. Dengan itu BERSIH memohon permit namun telah ditolak oleh kerajaan, bahkan kerajaan memberi amaran akan bertindak sekiranya 100,000 rakyat berhasrat untuk meneruskan Himpunan Aman BERSIH. Dan polis pun bertindak bagi pihak kerajaan.

Apabila peluru gas pemedih mata di ledakkan kepada peserta Himpunan Aman BERSIH di sekitar Masjid Jamek-Masjid India, 'khabar telah disampaikan' bahawa Briged ke-19 Regimen Askar Melayu di-Raja (RAMD) telah bersiap siaga, untuk merempuh masuk sekiranya berlaku kemalangan maut. Empat Belas Kerta Perisai telah sampai sebelumnya dari Sungai Petani dan berkhemah di Kem Tentera Sungai Buloh, bersedia untuk campurtangan dalam notis segera. Mereka hanya perlukan 10 atau 20 minit untuk sampai ke lokasi sekiranya terdapat tindakan keras keatas rakyat.

Butang kecemasan akan ditekan dan loceng akan berbunyi. Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyaksikan kejadian sepertinya di Kampong Bharu. Regimen Askar Melayu bukan satu permainan, dimana Agong adalah Ketua Komander dan askar akan mematuhi arahan komander tanpa mengambil kira keselamatan nyawa mereka.

Sebab itulah tindakan polis mengendur. Tugas mereka dikurangkan dengan hanya diletakkan di persimpangan untuk menghentikan kereta bagi memberi laluan peserta Himpunan Aman BERSIH untuk melintas jalan dengan selamat. Regimen Askar Melayu di Raja terus bersiap siaga sehingga keesokkannya. Kemudian 14 kereta perisai, senyap-senyap keluar dari Sungai Buloh dan kembali ke Sungai Petani.

Itulah yang membimbangkan kerajaan. Agong tidak bertitah, baginda tidak mahu menerima mengadap wakil-wakil dari Himpunan Aman BERSIH 100,000 Rakyat. Bahkan Agong meminta nama-nama perwakilan yang mengadap. Dan apabila kerajaan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap rakyat, Briged ke 19 RAMD telah dihantar ke Kuala Lumpur dengan 14 buah kereta perisai. Inilah caranya Agong mengatakan bahawa sekiranya kerajaan bertindak menembak para peserta Himpunan BERSIH, sebagaimana kerajaan menembak Suwandi dan Azman di Batu Burok, dia akan bertindak atas nama rakyat.

Oleh yang demikian, kerajaan tidak berkeras. Mereka tidak ada pilihan kerana 100,000 rakyat mahu mengadap Agong, dan Agong mengisyaratkan 'Ya' kepada rakyat. Briged ke 19 RAMD dihantar untuk memastikan bahawa isyarat penerimaan 'Ya' Agong terhadap permohonan mengadap rakyat, dipenuhi.

Pak Lah telah mengeluarkan 'dekree' di dalam ucapan penggulungannya di akhir Perhimpunan Agung UMNO sehari sebelum Himpunan Aman BERSIH. Dia kata dia 'pantang di cabar'. Menantunya, si Khairy meminta polis menangkap semua orang yang menyertai Himpunan Aman BERSIH.

Jadi, tangkaplah si Khairy ! kalau boleh tangkap!. Tangkap 1,000, tangkap semuanya 2,000 orang. Kalaupun jumlah 5,000 orang, tangkap semuanya! Tangkaplah semuanya kalau jumlah 50,000 orang sekalipun. Tetapi, sekiranya jumlah 50,000 ditangkap, masih ada dalam perjalanan 50,000 orang lagi! Bagaimana nak tangkap 100,000 orang rakyat sekiranya ada 50,000 orang lagi sedang berarak tiba di Kuala Lumpur?

Mana boleh tangkap jumlah 50,000 orang! Mana polis ada kemudahan lori untuk menangkap 50,000 orang dan mana ada penjara yang boleh memuatkan 50,000 orang.tahanan !

Kesudahannya, Himpunan 100,000 rakyat yang sebenarnya berlaku di Istana Negara. Walaupun pada mulanya, BERSIH mengisytiharkan akan berhimpun di Dataran Merdeka. Nampaknya kerajaan telah tertipu! Mereka (BERSIH) mahu polis berhimpun (tertumpu) di Dataran Merdeka, supaya peserta Himpunan BERSIH boleh berarak ke Istana Negara tanpa sebarang halangan. BERSIH telah menang, kerajaan tertipu!

Baiklah, kerajaan tak akan kalah semuanya. Kerajaan masih boleh membuat pengumuman yang DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak setuju tidak berkenan. Kerajaan akan meminta ketua pengelola Istana Negara, seorang pegawai kerajaan, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan, membuat pengumuman penting iaitu '(Agong) Tuanku Mizan Kesal Dakwaan Baginda Sokong Perhimpunan Haram'.

Mungkin rakyat jelata akan percaya? - buletinonline.net