Artikel ini saya tulis pada 23 Ogos 2005 dan disiarkan di dalam Berita Harian edisi 25 Ogos 2005 dengan tajuk Agihan Zakat Sempurna Batu Insan Daif. Artikel ini mendapat reaksi oleh Pusat Zakat Selangor, dan kemudian saya menulis kembali bagi menjawab reaksi tersebut. Jawapan balas disiarkan oleh Berita Harian pada 28 Oct 2005 (lihat tajuk Sasaran Agihan Zakat Sedunia di dalam blog ini)
Apa peranan Baitul Mal?
Oleh : Asadullah
Semalam Alhamdulilah saya berkesempatan melihat rancangan Bersamamu terbitan TV3. Memang agak terkesan bila melihat seorang wanita tua (yang boleh dianggap nenek bagi saya) tinggal nun jauh di hujung kampong. Lari jauh dari manusia kerana merasakan diri serba kekurangan. Dengan penyakit kulit yang dialamilah apalah daya nenek ini.
Bila mula-mula rakaman dibuat alangkah terperanjatnya nenek tersebut sampai meyembunyikan diri dibawah katil. Takut dengan kelibat manusia. Baginya beliau tidak ada bahagian untuk bersama manusia yang sempurna.
Ala kulli hal, saya cukup menyangjungi TV3, sebuah badan swasta yang tanggungjawab utamanya memberikan informasi dan hebahan berita kepada rakyat, kini terjun membela insan-insan yang memerlukan dan berjaya memenuhi tanggungjawab socialnya kepada rakyat. Terfikir saya, seharusnya kerja-kerja sebegini dilakukan oleh badan-badan amanah seperti pusat zakat dan baitul mal.
Melihat sebuah majalah keluaran pusat zakat Selangor (Asnaf) pada Januari 2005 kutipan zakat pada Januari sahaja mencecah 6 juta ringgit dan jumlah ini meningkat pada bulan Mac kepada hampir 8 juta ringgit (dalam tempoh beberapa bulan sahaja).
Kemudian, apa yang menjadi tanda tanya agihan untuk asnaf yang fakir miskin jumlahnya tidak sampai 70 ribu ringgit manakala untuk muallaf pula agihannya sekitar 400 ribu ringgit. Yang paling banyak mendapat peruntukan adalah asnaf fisabilillah (hampir 8 juta) yang kebanyakkan guru agama, pembinaan masjid, elaun kafa dan sebagainya.
Ingin saya tegaskan di sini, tidak salah memberi kepada asnaf fisabilillah ini kerana memang pekerjaan mereka mulia, tetapi realitinya saya banyak mendengar cerita-cerita yang kurang manis daripada masyarakat terhadap pegawai-pegawai masjid, jabatan agama dan guru-guru kafa ini.
Satu contoh (Ya mungkin ini contoh kecil) di sebuah negeri pegawai masjidnya berebut untuk mendapat dana Pajero bagi keperluan masing-masing. Sedangkan Pajero itu adalah untuk kegunaan bersama, tetapi mengangap itu harta persendirian
Yang kedua, seorang rakan kepada saya memberi tahu, peritnya seorang muallaf untuk mendapatkan bantuan daripada baitulmal sehingga beliau diperbudakkan ketika meminta zakat di pejabat zakat.
Contoh yang paling rapat, kawan saya sendiri yang mempunyai latar belakang kewangan keluarga yang kurang berkemampuan meminta bantuan pelajaran (dermasiswa) daripada baitul mal sehingga sekarang tidak mendapat berita. Beliau yang ayahnya dan ibunya seorang penoreh getah dan juga berniaga secara kecil-kecilan terpaksa menghabiskan banyak masa menjual buku dan pakaian untuk menampung keperluan makan, minum dan yuran pelajaran.
Bagaimana cerita-cerita ini boleh timbul kalau betullah mereka itu bergerak fisabililah sepatutnya keikhlasan mereka mengatasi segalanaya. Dan seharusnya juga merekalah yang paling kurang mendapat bantuan kerana ganjaran besarnya adalah disisi Allah swt.
Tolonglah mainkan peranan kamu semua dalam masyarakat membantu golongan fakir miskin dan yang “sangat-sangat” memerlukan. Saya pernah mendengar suatu saat dimana Khalifah Abu Bakr memerintah empayar Islam ketika itu takut untuk mengambil harta dari baitul mal walaupun sebutir gandum. Saya juga pernah mendengar suri tauladan Khalifah Umar AlKhattab memerintah empayar Islam sehingga tidak ada orang yang miskin hasil kesedaran masyarakt tentang zakat serta agihan zakat yang sempurna.
Ayuh, jadilah orang-orang yang mukhlisin dalam agama Allah ini.