Friday, December 14, 2007

Tazkirah Ramadhan

Saya merupakan peserta di dalam satu sessi forum yang diadakan di kampus kami baru-baru ini. Forum ini antara lain membincangkan perihal cinta muda-mudi, nafsu nafsi dan persoalan pernikahan di alam kampus. Antara penalis yang hadir adalah Ust Haji Ahmad Shukri Yusof, Ketua Unit Syariah dan Penerangan Khas Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Saya amat tertarik dengan penerangan yang beliau sampaikan dan setelah membuat sedikit bacaan saya tidak menemukan sebarang dalil yang melarang pernikahan sekiranya tujuan utama adalah kerana Allah dan untuk menjauhi diri dari jatuh ke lembah penzinaan. Setelah itu barulah Allah memberikan alternatif kepada mereka yang tidak mampu berkahwin untuk berpuasa, tetapi sebelumnya Allah memerintahkan supaya mengahwinkan orang-orang (baik lelaki ataupun perempuan) yang bersendirian diantara kamu, jika mereka miskin Allah sendiri akan memampukan mereka.

Masalah penzinaan yang saya utarakan disini saya merujuk kepada satu sudut pandang yang lebih besar. Saya tidak katakan zina itu apabila terjadinya hubungan kelamin yang tidak halal antara seorang lelaki dan perempuan, tetapi zina juga termasuk zina hati, zina tangan, zina telinga muka dan sebagainya. Saya ada membaca sebuah buku karangan Syeikh Ali Thontowi dimana beliau menyatakan kerisauannya terhadap kondisi kebejatan akhlak pemuda-pemudi Islam pada waktu itu (ketika menulis beliau berusia 50 tahun dan sekarang sudah menghampiri 80 tahun) dengan kalimahnya “Wahai puteriku…banyak aku menulis, sering aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membateras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membateras keruntuhan moral. Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan khutbahkan…sehingga pena yang aku gunakan menjadi tumpul dan lidahku menjadi kelu. Namun tetap tiada hasil yang aku perolehi. Kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membaterasnya. Di setiap pelusuk Negara perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dan pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok (mata). Semua itu bergerak melanda negera demi Negara tanpa satu pun Negara Islam yang mampu mengelak”

Kemudian beliau menambah lagi “Wahai puteriku…Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat (seorang) gadis ialah gadis itu telanjang dihadapannya tanpa pakaian…Aku bersumpah lagi, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat, dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab..Bohong…bohong…bohong…demi Allah dia berbohong".

Begitulah dasyatnya kerisauan seorang Syeikul Islam terhadap kefasadan yang berlaku kepada akhlak pemuda pemudi Islam pada waktu itu. Jika 30 tahun dahulu sudah begitu busuk akhlak remajanya, kita boleh bayangkan sahaja bagaimana terpuruknya ummat kita sekarang yang dipimpin oleh pemuda-pemuda maksiat ini. Ditambah dengan hiburan yang melampau, ditambah dengan media yang pelbagai bentuk dan jenis, semuanya tidak lain adalah untuk memandulkan hamasah para pemuda dan pemudi Islam agar jauh dari perjuangan, agar jauh dari nilai dan kemurnian Islam.

Kemudian beliau menambah lagi “…semua itu adalah penyakit. Tetapi apakah ubatnya? Ubat mujarab yang dapat menyembuhkannya ialah kembali kepada sunah Allah dan ketetapan-ketetapan ajaran-Nya. Allah tidak melarang atau mengharamkan sesuatu kecuali digantinya dengan yang lebih baik. Allah mengharamkan riba, tetapi digantinya dengan perniagaan. Allah mengharamkan zina, digantinya dengan pernikahan dan perkahwinan…jadi ubat penyembuh dari penyakit itu ialah berkahwin! Inilah cara yang halal dan satu-satunya jalan menuju kebaikan.

Demi keberkahan bulan Ramadhan yang mulia ini, saya menyeru kepada rakan-rakan pemuda, pemudi, mahasiswa yang seangkatan dengan saya supaya dapat melatih nafsu agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. Jadikan bulan ini sebagai bulan Tarbiyah Dzatiyah, bulan untuk mendidik jiwa dan rohani supaya tenang menghadapi gelora nafsu. Semoga Allah menjadikan kita pemuda pemudi yang diberikan petunjuk oleh Allah.

nota: artikel ditulis pada 28 Oct 2005