Utusan Malaysia melaporkan penilaian Bank Dunia yang diterbitkan dalam sebuah buku laporan berjudul "Malaysia dan Ekomoni berasaskan Pengetahuan : Membina Sistem Pendidikan Bertaraf Dunia" dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri bahawa sistem pendidikan tinggi Malaysia berada pada tahap kritikal dan semakin ketinggalan berbanding negara jiran. Ekoran itu, Bank Dunia menyarankan Malaysia memperbaharui strategi dan mempunyai fokus pendidikan yang jelas jika mahu bersaing di peringkat antarabangsa jika tidak Malaysia akan jauh ketinggalan berbanding negara-negara jiran yang giat membangunkan universiti-universiti masing-masing.
Bagaimanapun , di dalam laporan Berita Harian menjelaskan Bank Dunia di dalam laporan bersama EPU berjudul "Malaysia and the Knowledge Economy: Building a World Class Higher Education System" mengakui universiti negara ini mempunyai kepimpinan yang berkaliber sekaligus mampu berkembang luas pada peringkat antarabangsa. Bank dunia seterusnya mengakui IPT Malaysia mampu berkembang dan menjadi pusat pendidikan tinggi bertaraf dunia hasil perhatian serius kerajaan termasuk menyediakan peruntukan besar memajukannya.
Supaya lebih menghargai budaya ilmu dan bukan budaya mengampu melampau, saya cadangkan pembaca budiman meneruskan bacaan bagi laporan penuh kedua-dua akhbar tersebut di sini:
Akhbar pertama adalah laporan Utusan Malaysia dan seterusnya laporan Berita Harian. Saya juga menyediakan gambar laman sebagai bukti dalam memberikan sebuah laporan yang lebih bernilai ilimiah. Gambar yang disediakan agak kecil, tetapi diharap pembaca budiman boleh mengakses sendiri laman web terbabit. Pembongkaran isu asal adalah daripada penulis Intan Abdullah.
Pendidikan tinggi kritikal -- Bank Dunia saran sistem itu mempunyai fokus, strategi pembaharuan
Oleh: YULPISMAN ASLI
KUALA LUMPUR 3 Dis.– Sistem pendidikan tinggi di Malaysia berada pada tahap kritikal dan semakin ketinggalan berbanding negara jiran.
Ekoran itu menurut laporan Bank Dunia, sistem pendidikan tinggi di negara ini perlu mempunyai fokus dan strategi pembaharuan yang jelas jika mahu bersaing di peringkat antarabangsa.
Jika tidak kata laporan itu, Malaysia mungkin akan jauh ketinggalan berbanding negara-negara jiran yang giat membangunkan universiti masing-masing.
Sehubungan itu Bank Dunia menyarankan, pembaharuan yang hendak dibuat perlu memberikan perhatian kepada beberapa perkara iaitu:
* Memilih model tadbir urus dan kewangan yang lebih efektif.
* Meningkatkan keseluruhan kualiti universiti dengan memberi fokus kepada program akademi, pengurusan fakulti, dan pembelajaran.
* Melengkapkan graduan dengan ilmu ekonomi berasaskan pengetahuan.
* Mengukuhkan sistem inovasi kebangsaan dengan mewujudkan rangkaian kukuh antara firma-firma di Malaysia dan universiti-universiti.
Pandangan Bank Dunia itu dinyatakan dalam buku laporan berjudul Malaysia dan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan: Membina Sistem Pendidikan Bertaraf Dunia yang diterbitkan dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.
Buku laporan setebal 258 muka surat itu diterbitkan pada Mac lalu, dan salinan ringkasan eksekutifnya diedarkan kepada wartawan semasa Persidangan Pendidikan Tinggi Serantau anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan Bank Dunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Persidangan itu dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan turut dihadiri Pengarah Negara (Malaysia) Bank Dunia, Ian C. Porter.
Dalam laporan itu juga, Bank Dunia berpendapat, pembaharuan polisi boleh meningkatkan tahap keberkesanan sistem inovasi kebangsaan di negara ini, dengan universiti tempatan boleh memainkan peranan penting.
Sehubungan itu, Bank Dunia mencadangkan beberapa tindakan untuk menggalakkan inovasi di kalangan universiti tempatan, antaranya:
* Pembiayaan penyelidikan secara kompetitif dan terpilih.
* Melibatkan universiti-universiti dalam pembangunan serantau.
* Mengukuhkan hubungan antara universiti dan industri.
* Mewujudkan kursus-kursus keusahawanan.
Sementara itu, Mustapa ketika diminta mengulas laporan Bank Dunia itu berkata, kerajaan telah mengambil segala langkah perlu untuk meningkatkan sistem pendidikan tinggi di negara ini selaras dengan kehendak Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.
“Ini termasuk mewujudkan sistem penilaian kualiti membabitkan semua universiti di negara ini,” katanya.
KUALA LUMPUR: Bank Dunia mengakui institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia mampu berkembang dan menjadi pusat pendidikan tinggi bertaraf dunia hasil perhatian serius kerajaan, termasuk menyediakan peruntukan besar memajukannya. Dalam laporan bersama dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, bertajuk 'Malaysia And The Knowledge Economy: Building And World Class Higher Education System' yang siap Mac lalu, badan dunia itu turut mengakui universiti negara ini mempunyai kepemimpinan berkaliber, sekali gus mampu berkembang lebih luas pada peringkat dunia. Laporan setebal 258 halaman itu dijadikan antara bahan rujukan dan perbincangan sepanjang tiga hari Persidangan Pendidikan Tinggi Serantau bertajuk Pilihan Strategik Untuk Pembaharuan Pendidikan Tinggi anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan Bank Dunia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, bermula semalam.
Konvensyen dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, dihadiri kira-kira 200 peserta dari negara Asia, rantau Pasifik dan tokoh Bank Dunia. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Vietnam yang juga Menteri Pendidikan, Nguyen Thien Nhan; Menteri Kanan Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja, Kol Pheng dan Pengarah Bank Dunia (Malaysia), Ian C Porter. Mengulas laporan Bank Dunia itu, Mustapa berkata, Malaysia sedang memberi fokus lebih serius kepada meningkatkan kualiti dan sistem pendidikan untuk memastikan universiti dan IPT di negara ini mencapai tahap dunia.
Katanya, usaha ke arah itu sudah bermula sejak lima tahun lalu dan ketika ini banyak universiti tempatan sudah berubah dan melaksanakan pelbagai pembaharuan. "Jadi, kita juga nak mendengar laporan penilaian Bank Dunia mengenai tahap dan kemajuan pendidikan tinggi di negara ini untuk dijadikan panduan dan tindakan perlu diambil. "Isu yang perlu diberi perhatian ialah kualiti pendidikan dan matlamat kita menjadikan IPT di negara ini mempunyai sistem pendidikan berkelas dunia," katanya. Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata persidangan itu diharap dapat mengeratkan hubungan kerjasama dan meningkatkan imej Malaysia dalam bidang pengajian tinggi dengan negara luar.