Thursday, December 06, 2007

Sasaran untuk agihan zakat sedunia?

Sasaran untuk agihan zakat sedunia?
Oleh
: Asadullah

Saya pernah menulis dalam ruangan yang sama bertarikh 25 Ogos 2005 yang menceritakan perihal agihan zakat yang sempurna akan membantu insan daif. Surat berkenaan mendapat jawapan balas daripada pihak PZS yang bagi saya jawapan itu masih lagi bersifat umum. Daripada kes-kes yang didalam pengetahuan saya menunjukkan masih ada kelemahan didalam sistem agihan zakat walaupun kemudiannya surat balas itu mengatakan kes-kes itu adalah kes-kes minor yang boleh diabaikan dan tidak mencerminkan sikap keseluruhan pegawai pusat zakat.

Saya ingin menyorot kembali dialog seorang pegawai PZS dalam rancangan tijarah ramadhan terbitan TV1 tanggal 27/10/05 lalu. Secara peribadi saya amat memuji RTM melalui saluran medianya TV1 yang mengudarakan rancangan ini. Setiap kali rancangan ini keudara, insyaAllah handset saya akan siap ditangan untuk menghantar derma melalui sms.

Satu kenyataan daripada pegawai tersebut yang saya rasa perlu ada bacaan ilmiah sebelum kenyataan itu dikeluarkan. Pegawai itu menyarankan supaya orang ramai menanamkan sifat malu untuk meminta bantuan (zakat) dan berusaha dengan tekun untuk memperbaiki diri supaya nanti tabungan zakat bertambah dan mampu diagihan diperingkat global pula.

Tidak dinafikan sikap segan, malu meminta perlu ditanamkan dalam jiwa setiap muslim. Tetapi kadang kala terjadi terdapat segelintir penyimpan harta amanah ini bertindak seolah-olah harta itu harta milik syarikat mereka. Orang lain itu adalah entiti luar yang harus melalui seribu satu leteran dan kadang kala cemuhan sebelum bantuan itu diluluskan.

Konsep ini harus dibetulkan. Zakat adalah harta amanah dan Pusat Zakat adalah ibarat rumah dimana harta ini dikumpulkan (sebab itu juga dipanggil baitul mal). Pusat Zakat juga adalah selaku pemudah cara untuk zakat itu sampai kepada asnafnya. Jadi berikan hak kepada mereka yang berhak sebab disanalah letaknya keberkahan harta zakat dan rumah tempat ia dikumpulkan.

Untuk sasaran menyediakan kemudahan zakat diperingkat antarabangsa, saya berharap pusat zakat lebih bersikap realistik dan saya secara perbadi tidak melihat pusat zakat mampu melakukan misi sebesar ini buat masa sekarang. Ini berpijak pada reality bahawa sistem pengagihan zakat secara lokaliti sahaja terhad kepada anak negeri dan itu pula harus melalui seribu satu macam procedure. Dan lagi masyarakat Malaysia sendiri masih banyak yang harus dibantu.

Saya disini ingin menegaskan sekali lagi bahawa ini bukan persoalan siapa meminta atau siapa memberi tetapi persoalan tanggungjawab dan hak si asnaf. Orang lain bersedeqah dengan harapan hartanya itu hidup ditengah-tengah amal dan jariah supaya mereka nanti memperoleh ganjarannya disyurga dan bukan untuk ditumpuk-tumpuk sehingga banyak. Tetapi jika penjaga rumah harta ini bertindak menyimpan harta supaya nanti boleh ditunjukkan pada dunia bahawa Malaysia mempunyai tabungan zakat yang tinggi dan sekaligus sebagai indicator bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat maju, serta beranggapan bahawa ini adalah harta syarikat (Sdn Bhd, Berhad, Sole Prop ect) maka hilanglah berkahnya zakat tadi.