Sunday, December 02, 2007

Talam bermuka dua

Talam bermuka dua
Oleh: Asadullah

Saya agak "kecairan" apabila mendengar kalam Allah bertempiasan keluar dari mulut seorang Perdana Menteri. Ayat tersebut berbunyi berikut:

Iza ahkamtum baina an-nas antahkumu bi al-'adl 4:58

Maksudnya apabila kamu berhukum diantara manusia, maka berhukumlah dengan adil.Beliau (perdana menteri tersebut) kemudian menegaskan dengan faham berikut "Berhukum diantara manusia, an-nas itu maksudnya semua manusia (tidak hanya untuk orang Islam sahaja, termasuk hindu mic atau hindraf, cina)...saya akan mati, mengikut "kepercayaan" orang Islam, apabila mati, saya akan ditanya oleh Allah swt sudahkah kamu sudah berlaku adil..."

Cukup syahdu apabila saudara berkesempatan mendengar ucapan tersebut, cukup terkesan dan kesan ini juga, suatu masa pernah saya rasakan sewaktu beliau menguncurkan sajaknya untuk mencari Al-Ghazali dan As-Syafie, serta sewaktu beliau kematian isterinya dan saya berdoa supaya beliau mencari calon yang lebih sedondon dengan imej dan watak pemerintahannya.

Tetapi semua itu hancur, apabila sajak itu dibayangi oleh kehidupan mewahnya bersama kapal jutaan juta sewaktu rakyat Johor dilanda banjir dan hancur dibayangi kehidupan sosial dengan tangan begitu mudah merewang sesuka hati. Semua itu juga hancur apabila dibayangi oleh teman hidup pilihannya yang langsung tidak takut dengan hukum keadilan Allah.

Kenapa wahai pemimpin, kenapa kamu mengambil sebahagian ayat Allah buat menepis tuduhan politik yang dilempar ke mukamu, dan kamu meninggalkan sebahagian ayat hijab keatas wanita-wanitamu (isteri dan anak-anak), sebahagian ayat larangan menghampiri zina, sebahagian ayat larangan melakukan zalim kepada dhuafa', sebahagian maksud larangan hadiah kepada pemimpin adalah rasuah serta sebahagian ayat larangan melonggok kekayaan daripada titik peluh rakyat.

Afatukminuna biba'di al-kitab wa takfuruna biba'd (2:85)

Pertanyaan Allah kepada kamu mungkin begini "Kenapakah kamu beriman dari sebahagian kitab (Alquran), dan kamu kafir pada sebahagian yang lain?".

Hati saya berbasi-basi berikut. Kamu sebenarnya sedang takut, kamu sedang cemas dibantai ombak politik, kapal yang kamu nakhodai menghampiri bahaya karam, maka dalam keadaan cemas dan takut kamu mencari Allah, kamu mencari bahasa-bahasa dan menyeru Allah. Tetapi sewaktu badai cemas dan takut itu reda kamu kembali kufur.

Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, niscaya hilanglah siapa yang kamu seru kecuali Dia, Maka tatkala Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling. Dan manusia itu adalah selalu kufur (AlA'raf,17:67)